Saturday, 25 April 2015

Penyokong Johor DT bertindak liar - Kosmo

 BESI yang didakwa digunakan penyokong Johor DT untuk membaling peminat Perak di Stadium Perak, Ipoh malam kelmarin.

PERSATUAN Bola Sepak Perak (PAFA) akan membuat laporan rasmi kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung tindakan liar segelintir penyokong Johor Darul Takzim (Johor DT) selepas perlawanan Liga Super 2015 antara kedua-dua pasukan di Stadium Perak, Ipoh malam kelmarin.
Setiausaha PAFA Abdul Aziz Yeop Jamaluddin berkata, beliau sudah memaklumkan perkara itu kepada  Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin selepas menyaksikan penyokong JDT bertindak membaling besi ke arah penyokong Perak.
“Mereka baling besi tapi tidak kena, cuma kena bahagian kerusi. Saya lihat sendiri penyokong Johor DT pergi ke bahagian pintu D dan mengejar penyokong kita. Ketika itu nasib baik ada pagar yang hadang jadi penyokong kita pun lari. Ini melampaui batas.
“Dalam mesyuarat sebelum ini, kami sudah bincang dengan polis, biar penyokong Perak dengan pemain keluar terlebih dahulu dan barulah penyokong dan pemain Johor DT keluar.
“Kita juga telah mengambil langkah awal dengan mengarahkan semua penyokong Johor DT masuk ke kawasan padang dan masa itulah perkara ini terjadi,” katanya ketika ditemui pemberita malam kelmarin.
Abdul Aziz berkata, pihaknya juga akan membuat tuntutan ganti rugi kepada FAM selepas mendapati beberapa papan iklan rosak akibat kejadian tersebut.
“Kalau kita tidak cukup kawalan keselamatan mereka akan menyalahkan kita. Tetapi bila sudah cukup kawalan keselamatan, segelintir penyokong pula bertindak liar. Jadi saya rasa kalau perkara ini dibiarkan berlarutan imej bola sepak negara akan tercalar dengan sikap sebahagian penonton ini.
“Malah saya difahamkan dalam stadium ada juga pergaduhan antara penyokong Johor DT yang terdiri daripada dua kumpulan berasingan. Namun, kita dapat halang agar pergaduhan itu tidak berpanjangan,” katanya.
Beliau berkata sebanyak 570 anggota keselamatan termasuk daripada PAFA ditugaskan untuk menjaga ketenteraman pada perlawanan itu.
Ketika ditanya berhubung pemain Johor DT menaiki kenderaan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) selepas perlawanan tamat, beliau berkata ia sebagai langkah pencegahan demi menjaga keselamatan pemain.
“Dalam mesyuarat, memang kita minta supaya pemain dibawa masuk dalam kenderaan FRU kerana kita tahu ada segelintir penyokong yang menunggu di celah pokok dan baling batu. Jadi itu merupakan langkah mengelak daripada terkena pemain.
“Ia bukan disebabkan kejadian itu (pergaduhan) tetapi secara kebetulan. Jika tidak berlaku pun, memang kita dah putuskan untuk berbuat demikian dalam mesyuarat,” katanya.
Pada perlawanan itu, Perak menewaskan Johor DT 2-1. 

No comments:

Post a Comment