KEKALAHAN Johor Darul Takzim (Johor DT) kepada Perak dalam saingan Liga Super di Stadium Perak, Ipoh malam kelmarin amat mengecewakan jurulatih, Bojan Hodak.
Menurut Hodak, kegagalan skuad Harimau Selatan itu menumpaskan The Bos Gaurus disumbangkan oleh beberapa faktor, antaranya keadaan padang.
“Keadaan fizikal padang banyak memberikan kesan terhadap pergerakan pemain. Berdasarkan permainan di Perak, pemain kita nampak tidak selesa beraksi di padang mereka.
“Banyak hantaran bola jauh terpaksa dilakukan. Menghantar bola jauh bukan gaya kita. Pemain gagal menghantar bola dengan sempurna. Ia faktor utama kita gagal memberikan aksi yang baik di padang lawan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Tidak mahu menuding jari terhadap sebelah pihak, Hodak turut melahirkan rasa tidak puas hati dengan persembahan pemainnya sepanjang aksi 90 minit.
“Ya! Saya amat kecewa dengan corak permainan anak buah saya semalam (kelmarin). Bagaimanapun, kami yakin untuk kembali memberikan aksi yang hebat dalam perlawanan akan datang,” katanya.
Selain terbabit dalam persaingan Liga Super, Johor DT juga sedang mempersiapkan pasukannya untuk merebut tempat teratas dalam saingan Piala AFC.
Mengulas mengenai keadaan fizikal dan stamina pemain untuk berhadapan dengan dua saingan berbeza, Hodak yakin pasukannya mampu memberikan persaingan yang hebat.
Malah, dia menafikan bahawa rutin latihan yang padat menyumbang kepada kekalahan Harimau Selatan.
“Menjalani latihan yang padat dan terbabit dengan pelbagai perlawanan sudah tentu bukan kelebihan buat Johor DT, namun, ia bukan punca kami tewas,” jelasnya.
Bagi menghadapi Liga Super pada musim ini, Hodak menyifatkan Terengganu, Selangor dan Felda United sebagai pesaing terdekat Johor DT.
Pada perlawanan di Perak malam kelmarin, Johor DT terpaksa akur dengan asakan The Bos Gaurus sehingga pasukan tuan rumah berjaya melakar kemenangan 2-1.
Walaupun Johor DT terlebih dahulu menembusi gawang gol tuan rumah hasil jaringan Mohd. Aidil Zafuan Abd. Radzak pada minit ke-25, ia tidak membuatkan Perak tersentak.
Sebaliknya, The Bos Gaurus menyamakan kedudukan pada minit ke-49 menerusi Mohd. Nurridzuan Abu Hassan sebelum gol kemenangan pada minit keenam melalui Charles Souza Chad.
No comments:
Post a Comment