LONDON 3 Feb. – Peluang Arsenal sama ada mampu memburu kejuaraan Liga Perdana Inggeris, musim ini atau sudah boleh melupakannya terus bergantung penuh kepada pertemuan dengan Chelsea di Stamford Bridge, esok.
Anak-anak buah Arsene Wenger juga akan diuji dari segi mental sama ada mampu bangkit daripada kekalahan mengejut 1-2 kepada Watford, Rabu lalu atau pun tidak selepas gagal mengambil kesempatan daripada keputusan seri 1-1 Chelsea dan Liverpool pada hari sama.
Kalah bermakna Arsenal sudah boleh melupakan hasrat mereka untuk bergelar juara Liga Perdana memandangkan ketika ini mereka telahpun ketinggalan sembilan mata di belakang Chelsea selaku pendahulu liga.
“Kalau main macam hari itu (lawan Watford), memang amat mengecewakan. Sangat membimbangkan cara kami bermain sekarang. Maka, sudah tentu kami mahu bangkit ketika menentang Chelsea.
“Setiap kali kalah, kita perlu memberi respon segera dan melakukan analisa supaya dapat kembali mempamerkan persembahan meyakinkan,” kata Wenger yang tidak rela ditimpa kekalahan lagi selepas ini.
Untuk rekod, pertemuan dengan Watford tempoh hari merupakan kekalahan keempat Arsenal, musim ini dan selain menjadi medan terbaik melakukan kebangkitan, pertemuan dengan Chelsea itu nanti merupakan peluang keemasan untuk Gunners mengalahkan pendahulu liga tersebut.
No comments:
Post a Comment