Sunday, 5 March 2017

MSL : HELANG MERAH TERBANG TINGGI


JUARA Piala Malaysia 2016, Kedah mengekalkan rekod tanpa kalah setelah menewaskan Melaka United 4-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam tadi.
PEMAIN Kedah, Liridon Krasniqi (kanan) melakukan asakan ke gawang Melaka United pada aksi Liga Super yang menyaksikan skuad Helang Merah menang 4-0 di Alor Setar malam tadi.
Skuad Helang Merah bimbingan Tan Cheng Hoe yang dalam misi memburu trofi kedua selepas merangkul Piala Sumbangsih awal musim ini membuka tirai jaringan menerusi penyerang import dari Denmark, Ken Ilso Larsen pada minit ke-33.


Sandro Da Silva turut mencatat nama selaku penjaring apabila menghasilkan dua gol pada minit ke-48 menerusi sepakan penalti dan 79.
Larsen terus menambah derita Melaka United apabila menjaringkan gol keempat pada masa kecederaan perlawanan.
Dalam pada itu, jersi baharu Selangor gagal membawa tuah kepada skuad Gergasi Merah apabila tewas 0-1 kepada Perak di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.
Gol kemenangan The Bos Gaurus dihasilkan menerusi sentuhan Mohamad. Zaquan Adha Abd. Radzak pada minit ke-67 dalam aksi yang turut disulami layangan kad merah kepada pemain Selangor, Ugo Ukah setelah menerima kad kuning kedua.
Sementara itu, impian Kelantan untuk meraih kemenangan pertama di laman keramat, Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu berjaya direalisasikan setelah menewaskan T-Team 4-2.
Penyerang import dari Lebanon, Mohamad Ghaddar mencatat hatrik menerusi jaringan pada minit ketujuh, 68 dan 83, manakala Mohd. Khairul Izuan Rosli turut mencatat sebagai penjaring menerusi gol pada minit ke-76.
Gol T-Team dijaringkan oleh Mohd. Norhakim Hassan pada minit ke-46 dan Farhod Tadjiyev pada minit akhir perlawanan.
Di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Felda United menewaskan Sarawak 2-0, manakala Pulau Pinang terus gagal mencatat kemenangan apabila diikat PKNS 1-1 dalam aksi di Stadium Shah Alam.

No comments:

Post a Comment