Coutinho menjadi buruan utama Barcelona namun Liverpool meletakkan harga terlalu tinggi untuk melepaskan khidmatnya
BARCELONA – Pengarah Sukan Barcelona, Albert Soler mendakwa, Liverpool menuntut sebanyak €200 juta (RM1.018 bilion) daripada kelab gergasi Sepanyol itu untuk mereka melepaskan Philippe Coutinho pada saat-saat akhir sebelum jendela perpindahan musim panas di tutup Jumaat lalu.
Barcelona telah menjadikan Coutinho sebagai salah satu sasaran utama selepas Paris Saint-Germain (PSG) mengaktifkan klausa pelepasan kontrak Neymar bernilai €222 juta (RM1.130 bilion).
Namun, The Reds menolak beberapa bidaan daripada Barcelona sebelum itu meskipun Coutinho didakwa telah mengemukakan permintaan berpindah sebagai usaha untuk memaksa penghijrahannya ke kelab gergasi La Liga tersebut.
Coutinho tidak bermain untuk Liverpool pada musim ini ekoran ditimpa masalah kecederaan tetapi dia hadir sebagai pemain gantian dan meledak gol buat Brazil dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2018 bertemu Ecuador.
Barcelona yang mencuba nasib membida pemain berusia 25 tahun itu pada saat-saat akhir, terpaksa mengibarkan ‘bendera putih’ selepas The Reds berkeras menuntut yuran perpindahan bernilai €200 juta (RM1.018 bilion).
“Selepas seminggu mengadakan rundingan, semalam (Jumaat lalu) Liverpool telah meminta kami sebanyak €200 juta (RM1.018 bilion) buat pemain ini (Coutinho).
“Kami tidak akan sesekali meletakkan kelab ini berada dalam risiko.
“Kami sentiasa bekerja dengan matlamat untuk tidak meletakkan risiko kerana kelab ini dimiliki oleh beberapa ahli pemegang saham.
“Faktanya, PSG hadir dengan €222 juta (RM1.130 bilion) untuk Neymar kerana semua orang tahu bahawa mereka adalah kelab kaya dan memiliki wang.
“Apabila kamu pergi ke pasaran (jendela perpindahan) pemain dan kelab itu (Liverpool) mengetahui kamu kini memiliki wang yang banyak menyebabkan permintaan menjadi agak keterlaluan,” katanya.
Sebagai rekod, Barcelona telah berjaya menyambar khidmat pemain muda Borussia Dortmund, Ousmane Dembele dengan nilai £135 juta (RM744.34 juta), selain Paulinho dan Nelson Samedo sejak di bawah kendalian jurulatih baharu, Ernesto Valverde. – Agensi
No comments:
Post a Comment