SAINT PETERSBURG - Kempen England dalam Piala Dunia 2018 di Rusia terus berakhir dengan kekecewaan selepas tewas 0-2 buat kali kedua kepada Belgium dalam penentuan tempat ketiga/keempat di Stadium Saint Petersburg, malam ini.
Kedua-dua pasukan sebelum ini tersingkir di separuh akhir minggu lepas dan membuat beberapa perubahan pada aksi penentuan ini.
Namun, skuad The Red Devils tampil lebih hebat dan layak memenangi perlawanan tadi hasil jaringan Thomas Meunier dan Eden Hazard.
Eric Dier hampir merapatkan kedudukan buat The Three Lions, namun percubaannya berjaya dinafikan pertahanan Belgium, Toby Alderweireld yang mengeluarkan bola di atas garisan.
Eden Hazard celebrates scoring Belgium’s second goal with Kevin De Bruyne and Dries Mertens in the third-place play-off against England at the St Petersburg Stadium. Photograph: Toru Hanai/Reuters
Thomas Meunier celebrates after opening the scoring for Belgium early on. Photograph: Anadolu Agency/Getty Images
Dalam 21 pertemuan sebelum ini, England hanya kalah sekali kepada Belgium dan menang sebanyak 15 kali manakala lima perlawanan berakhir dengan seri.
Kekalahan ini menyaksikan mereka menyamai rekod pencapaian pada tahun 1990 di Itali dan gagal mengulangi pencapaian terbaik menjuarai Piala Dunia ketika 1966.
Bagaimanapun, England masih boleh pulang dengan gembira apabila penyerangnya, Harry Kane berpeluang memenangi anugerah Kasut Emas dengan lima gol dalam kempen di Rusia ini. - K ONLINE
IPOH - Skuad Perak gagal memanfaatkan bermain di gelanggang sendiri apabila hanya memperoleh satu mata selepas Seri 1-1 ketika menentang Pahang dalam saingan Liga Super di Stadium Perak di sini sebentar tadi.
Kedua-dua pasukan bermula dengan permainan corak pantas apabila mereka saling memberi tekanan kepada benteng pertahanan lawan masing-masing dalam usaha mencari gol pembukaan awal.
The Bos Gaurus mendapat peluang untuk mendapatkan jaringan awal pada minit ke-13 apabila pemain tengahnya, Kenny Pallraj Davaragi membuat hantaran silang di hadapan gol Pahang namun dihalang pemain pertahanan pelawat, Muhammad Safuwan Baharudin.
Perak terlebih dahulu tersentak apabila anak-anak buah Dollah Salleh berjaya menghasilkan jaringan menerusi penyerang berbisa Pahang, Norshahrul Idlan Talaha yang mudah menolak masuk bola ke dalam gawang selepas mendapat hantaran silang daripada rakan sepasukan, Mohamadou Sumareh pada minit ke-16.
Tuan rumah bagaimanapun bangkit memperkemaskan rentak permainan mereka dengan mengucar-kacirkan pertahanan kubu lawan sehingga usaha mereka berhasil mendapatkan jaringan penyamaan pada minit ke-25.
Jaringan tersebut diperolehi menerusi pemain penyerang Perak, Mohd. Nor Hakim Hassan yang merembat kencang bola di dalam kotak penalti sepepas mendapat bola hantaran daripada Kenny untuk menewaskan penjaga gol Pahang, Mohd. Helmi Eliza Elias.
Perlawanan bertambah rancak selepas kedua-dua pasukan saling melancarkan serangan demi serangan ke gawang lawan namun tiada jaringan gol dapat dihasilkan sehingga wisel penamat babak pertama dibunyikan pengadil perlawanan, Nagor Amir Noor Mohamed.
Babak kedua perlawanan, Pahang dilihat lebih banyak mengasak kubu pertahanan dalam usaha mendapatkan gol kedua namun beberapa usaha mereka tidak berhasil menterjemahkan jaringan.
Keputusan seri 1-1 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan.
KUALA LUMPUR - Malaysia menamatkan badi kejuaraan apabila menumpaskan Myanmar 4-3 untuk muncul juara Kejohanan Bola Sepak Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) Bawah 19 Tahun (B-19) di Stadium Delta Sidoarjo, Surabaya, Indonesia, malam ini.
Skuad muda negara bimbingan Bojan Hodak yang sekadar muncul naib juara sebanyak lima kali, akhirnya meraih kejuaraan sulung apabila Nik Akif Syahiran Nik Mat meledakkan gol kemenangan pada minit ke-90 pada perlawanan penuh dramatik itu.
Untuk rekod, Malaysia sekadar muncul naib juara pada 2003, 2005, 2006, 2007 dan 2017.
Pada aksi final, skuad negara, yang mengalahkan Myanmar 1-0 pada perlawanan kumpulan Selasa lalu, mendahului 2-0, hasil jaringan Awang Muhammad Faiz Hazziq seawal minit ketiga dan Nik Akif Syahiran pada minit ke-18.
Myanmar, bagaimanapun, berjaya menyamakan kedudukan hasil dua jaringan pantas Win Naing Tun pada minit ke-23 dan 26, sebelum mendahului babak pertama perlawanan menerusi jaringan Myat Kaung Khant pada minit ke-31.
Sebaik sahaja babak kedua bermula, Malaysia melancarkan serangan bertali arus ke kubu Myanmar dan akhirnya, Shivan Pillay Asokan menyamakan kedudukan menjadi 3-3 pada minit ke-75.
Bagaimanapun, Nik Akif Syahiran muncul wira skuad negara dengan jaringan emas bagi menamatkan penantian Malaysia selama 16 tahun sejak kejohanan itu diperkenalkan pada 2002. - Bernama
KUALA LUMPUR - Menteri Pemuda dan Olahraga Indonesia, Imam Nahrawi, memohon maaf atas tindakan provokasi penyokong tuan rumah di Stadium Gelora Delta Sidoarjo selepas Malaysia menewaskan Indonesia dalam aksi separuh akhir Kejohanan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) Bawah 19 Tahun (B19), di Surbaya, Khamis lalu.
Beliau membuat permohonan maaf secara terbuka menerusi entri di Instagramnya dengan memuat naik gambar pertemuan dengan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, semalam.
"Banyak hal dibicarakan, soal persiapan Sukan Asia 2018, harmoni Indonesia-Malaysia, juga soal tekwan dan pempek (masakan khas) Palembang yang pedas, soal kawasan Sport City Jakabaring, sampai soal keluarga dan karier.
"Soal perlakuan supporter kepada timnas Sepakbola u/19 Malaysia di Piala AFF di Sidoarjo, saya harus mohon maaf atas peristiwa tidak nyaman itu kepada beliau dan seluruh rakyat Malaysia," katanya.
Pada aksi separuh akhir itu, penonton Indonesia menimbulkan kekecohan di stadium apabila Malaysia menewaskan pasukan tuan rumah menerusi penentuan sepakan penalti 3-2 selepas aksi sebenar terikat 1-1.
Akibat tidak berpuas hati dengan kekalahan itu, penyokong tuan rumah melemparkan botol dan pelbagai objek ke arah pemain dan pegawai Malaysia.
Sementara itu, Syed Saddiq dijadual menyaksikan perlawanan akhir antara Malaysia dan Myanmar malam ini. - Bernama
MADRID 8 Julai - Fernando Hierro, yang mengambil alih jawatan pengendali Sepanyol selepas pemecatan Julen Lopetegui menjelang Piala Dunia, tidak akan meneruskan tugasnya sebagai ketua jurulatih skuad La Roja, umum Persekutuan Bola Sepak Sepanyol hari ini.
Di bawah bimbingan bekas pertahanan Sepanyol dan Real Madrid yang cetek pengalaman dalam bidang pengurusan itu, skuad La Roja, juara 2010 tersingkir pada Piala Dunia 2018 menerusi penentuan sepakan penalti kepada tuan rumah, Rusia. - AFP
KUALA LUMPUR 7 Julai - Kekecewaan yang terpaksa dilalui oleh Pahang dalam aksi final Piala FA tahun lalu akhirnya terubat apabila skuad Tok Gajah berjaya merangkul kejohanan tersebut setelah menewaskan Selangor 2-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.
Tahun lalu skuad Tok Gajah terlepas peluang untuk menjuarai Piala FA selepas tewas 3-2 kepada Kedah. Ia merupakan kejuaraan buat kali ketiga Pahang setelah kali pertama memenanginya pada tahun 2006 dan dua tahun lalu.
Pastinya kejayaan tersebut memberi kepuasaan kepada Tok Gajah kerana terpaksa mengharungi dua perlawanan sukar ketika menyingkirkan juara bertahan, Kedah di pusingan ketiga disusuli kemenangan ke atas pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) di suku akhir.
Keadaan sebaliknya berbeza untuk Selangor di mana tempoh penantian mereka untuk memenangi Piala FA terpaksa dilanjutkan.
Red Giants turut terlepas peluang untuk beraksi di pusingan kelayakan Liga Juara-Juara Asia musim depan. Kali terakhir Selangor memenangi Piala FA pada 2009.
Bagaimanapun, kemeriahan perlawanan final Piala FA pada tahun ini agak suram kerana banyak tempat duduk kosong kelihatan di stadium, malah satu jam sebelum sepak mula keadaan trafik tidak begitu sesak seperti lazimnya.
Jumlah keseluruhan penonton yang hadir kira-kira 43,000 orang dan ia berkemungkinan berlaku kerana Piala Dunia di Rusia sedang berlangsung.
Pahang mendominasi sebahagian besar corak permainan apabila mengasak kubu Red Giants dari arah kiri dan kanan sehingga berjaya menembusi gawang lawan hasil rembatan Nor Azam Abdul Azih pada minit ke-23 selepas menerima hantaran daripada Norshahrul Idlam Talaha.
Tok Gajah semakin bernafsu untuk menggandakan jaringan bagaimanapun tandukan pertahanan Pahang, Muslim Ahmad pada minit ke-31 yang berpunca daripada sepakan bola mati Nor Azam gagal menemui sasaran.
PEMAIN Pahang, Mohamadou Sumareh diasak Ilham Udin Armayn dari Selangor semasa final Piala FA di Stadium Nasional, Bukit Jalil kelmarin. –
Enam minit kemudian gawang Selangor berada dalam kedudukan bahaya apabila Safuwan Baharudin cuba menambah jaringan namun tandukannya berjaya ditepis penjaga gol Red Giants, Khairulazhan yang berpunca daripada sepakan penjuru Nor Azam.
Bersambung babak kedua, Pahang dihadiahkan penalti pada minit ke-61 selepas pertahanan Selangor, Alfonso De La Cruz menjatuhkan Agustine Iwuji sebelum Patrick Cruz tenang menyempurnakannya.
Pahang hampir membolosi gawang Selangor sekali lagi, namun percubaan Norshahrul atau lebih dikenali Mat Yo berjaya dibaca Khairulazhan.