MADRID – Penjaga gol Real Madrid, Iker Casillas mengakui tersinggung dengan ejekan para penyokong pasukan itu yang sengaja ditujukan kepadanya sewaktu perlawanan berlangsung.
Penjaga gol berusia 33 tahun itu mengharungi detik sukar bersama Madrid sewaktu dikendalikan bekas jurulatih, Jose Mourinho serta turut dituduh menjadi punca perpecahan pemain dalam bilik persalinan.
Casillas juga turut dikaitkan akan berhijrah menyertai pasukan lain selepas Carlo Ancelotti menggantikan Mourinho, dan hanya beraksi dua perlawanan dalam saingan Liga Sepanyol tetapi kerap diturunkan dalam perlawanan lain.
Bagaimanapun, penjaga gol antarabangsa Sepanyol itu kini bersedia untuk merebut tempatnya dengan pemain baharu, Keylor Navas sejurus perpindahan pencabar utamanya, Diego Lopez awal musim ini.
Namun, persembahannya masih belum mampu meyakinkan beberapa penyokong Madrid dan ia membuatkan Casillas terpaksa berdepan dengan situasi sukar ketika ini.
“Sangat menyakitkan mendengar ejekan mereka. Saya berada di sini sejak berusia sembilan tahun. Banyak yang telah saya berikan kepada pasukan ini yang menjadi batu loncatan buat saya dalam skuad Sepanyol.
“Orang ramai berhak melakukan apa sahaja tetapi ia menyakitkan. Saya terpaksa menerima beberapa perkara kerana sudah berada di sini terlalu lama.
“Saya sedar para penyokong sentiasa mahukan yang terbaik tetapi jauh di sudut hati, saya merasai kesakitan ini seperti kesetiaan saya dipersoalkan.
“Saya berhasrat untuk menamatkan karier saya dengan Real Madrid. Saya tak dapat bayangkan hidup saya dengan pasukan lain,” katanya. – Agensi
No comments:
Post a Comment