JURULATIH Harimau Malaya, Dollah Salleh tanpa berselindung mengakui kecewa apabila pasukan kendaliannya gagal meraih tiga mata ke atas Timor Leste pada aksi kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur malam kelmarin.
Pada aksi itu, Harimau Malaya sekadar menamatkan perlawanan dengan keputusan seri 1-1 apabila Ramon De Lima Saro meledak gol penyamaan ketika waktu kecederaan bagi mengikat jaringan Safee Sali yang menggegar gol skuad pelawat itu pada minit ke-33.
Bekas pengendali Pahang itu turut mengakui jentera serangan Harimau Malaya gagal memanfaatkan banyak peluang dan ia menjadi faktor utama skuad kebangsaan tidak berupaya meraih menewaskan Timor Leste.
"Keseluruhannya, saya kecewa terhadap (kualiti) persembahan kita yang tidak mengambil peluang ke atas pasukan yang tidak melakukan persediaan.
"Pada perlawanan kali ini, kita menguasai permainan tetapi tidak mencipta jaringan. Kita menyerang tetapi hilang (penguasaan) bola. Ada banyak peluang tetapi kita hanya mensia-siakan peluang itu.
"Kita buat kesilapan besar pada minit-minit terakhir. Saya lihat, pemain hanya mencapai 40 peratus daripada apa yang saya inginkan dan itulah yang membuatkan saya rasa kecewa," kata Dollah.
Dalam pada itu, jurulatih Timor Leste, Fabio Joaquim mengakui lega selepas pasukannya berjaya mengutip satu mata dalam aksi kelayakan tersebut.
Joaquim turut mengakui Timor Leste sepatutnya menjadi pemenang pada perlawanan itu, namun menyedari Harimau Malaya bukan sebuah pasukan yang mudah ditangani.
"Pemain kami keletihan kerana cuaca sangat panas dan tempoh latihan yang singkat turut menjadi punca keletihan. Tetapi, kami masih mempunyai peluang untuk menjaringkan gol.
"Kami hanya sempat berlatih dalam tempoh tiga hari. Selepas bertemu Mongolia baru-baru ini, para pemain sudah tahu cara untuk bermain sebagai sebuah pasukan.
"Saya berpuas hati dengan keputusan ini. Kami bermain dengan taktik yang lebih tersusun dan sama-sama mengukuhkan pertahanan," kata Joaquim semasa sidang akhbar selepas tamat perlawanan.
No comments:
Post a Comment