Saturday, 28 April 2018

Mourinho mahu ikut jejak Wenger


PENGURUS Manchester United, Jose Mourinho percaya beliau mampu menyamai rekod pengurus Arsenal, Arsene Wenger yang membimbing pasukan sehingga lewat usia 60-an.
Mourinho akan bertemu seteru utamanya itu untuk kali terakhir apabila Gunners mengunjungi Old Trafford, hari ini.
Rekod paling lama Mourinho sebagai pengurus adalah ketika membimbing Chelsea, iaitu selama tiga tahun tiga bulan dengan selebihnya tiga tahun di Real Madrid, dua tahun masing-masing di Porto dan Inter Milan dan kali kedua di Stamford Bridge.
Wenger pula pada usia 68 tahun akan mengundur diri hujung musim ini selepas hampir 22 tahun membimbing Gunners.
Ditanya adakah beliau mampu menandingi rekod pengendali dari Perancis itu, Mourinho berkata: “Sudah tentu. Saya terpaksa menukar kelab kerana anda (media) tidak membenarkan saya terlalu lama di sini.
“Saya berasakan mampu melakukannya tetapi berdepan konsep baru media, sosial media, pengkritik serta cara orang ramai meluahkan perasaan mereka, agak memberi tekanan bukan saja kepada pengurus, malah untuk kelab juga.
“Adalah agak sukar untuk seseorang itu bertahan lama terutama sekiranya jika tiada kejayaan.”
Bagaimanapun pengendali dari Portugal itu berasakan beliau mampu kekal lebih lama di United berbanding kelab-kelab yang pernah dibimbingnya sebelum ini.
“Di kelab lain, saya sudah memikirkan mengenai apa pula seterusnya?
“Untuk ketika ini, saya tidak mahu melakukan perkara lain selain membimbing United,” katanya.

No comments:

Post a Comment