PASUKAN naib juara Liga Premier musim ini, Felcra FC berjanji untuk melunaskan gaji pemain dan pegawai tertunggak selama tiga bulan berjumlah lebih RM2 juta dalam masa terdekat.
Perkara tersebut disahkan oleh Timbalan Presiden Felcra FC, Datuk Hazian Murad selepas mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Felcra Berhad, Datuk Mohd. Nageeb Wahab yang bersetuju untuk melangsaikan gaji tertunggak tersebut.
“Saya telah mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Felcra Berhad (Mohd. Nageeb) minggu ini dan beliau bersetuju untuk melunaskan gaji pemain serta pegawai yang tertunggak hampir tiga bulan.
“Saya bertanggungjawab terhadap kebajikan pemain serta pegawai pasukan Felcra FC musim ini dan berharap masalah tunggakan gaji ini yang berjumlah lebih RM2 juta dapat diselesaikan secepat mungkin,” katanya kepada pemberita kelmarin.
Hazian berkata demikian pada sidang akhbar mengenai penarikan diri secara rasmi skuad The Rivals dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) bermula musim depan.
Mengulas lanjut, skuad Felcra FC tidak akan dibubarkan tetapi hanya akan fokus di peringkat akar umbi dalam mengembangkan bakat anak-anak muda dari Felcra di seluruh negara.
“Kami bukan mahu membubarkan pasukan, cuma berhasrat untuk menarik diri daripada menyertai saingan Liga M musim depan kerana kekurangan dana untuk bersaing secara kompetitif.
“Saya akui kami sudah ada beberapa penaja tetapi jumlah yang dikumpulkan masih belum mencukupi kerana jika mahu memberi saingan yang baik khususnya di pentas Liga Super, kami memerlukan sekurang-kurangnya RM12 juta.
“Justeru, bagi mengelakkan berlaku sebarang kesulitan di pertengahan musim, lebih baik kami menarik diri dan beri fokus kepada pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi.
“Dalam kesempatan ini, saya turut mahu mewakili pasukan untuk mengucapkan terima kasih dan selamat maju jaya kepada semua pemain-pemain yang berjasa membawa kami muncul naib juara Liga Premier musim ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment