LONDON – Papiss Cisse menjaringkan dua gol untuk membantu Newcastle United mencipta kejutan apabila menewaskan Chelsea 2-1 di St. James Park semalam untuk meleburkan rekod tanpa kalah pasukan dari London itu dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris, sekali gus gagal mengulangi pencapaian tanpa kalah sepanjang musim yang pernah dilakukan Arsenal.
Keputusan itu juga bermakna rekod tanpa kalah Chelsea dalam 24 perlawanan sejak April lalu juga berkecai manakala kemenangan itu merupakan yang ketiga berturut-turut Newcastle ke atas The Blues di tempat sendiri.
Kemenangan manis yang dicapai oleh anak-anak buah Alan Pardew itu dilakukan dengan sepuluh pemain pada sembilan minit terakhir permainan masa sebenar dan enam minit waktu kecederaan.
Orang yang bertanggungjawab menconteng arang ke muka pengurus Chelsea, Jose Mourinho ialah penyerang dari Senegal, Cisse yang menjaringkan gol pada minit ke-57 dan 78.
Cisse berjaya menghukum kelalaian pertahanan Chelsea, Gary Cahill menerusi rembatan kencang yang menewaskan Thibaut Courtois, 12 minit selepas babak kedua bermula dan dia sekali lagi mudah menolak bola ke dalam pintu gol Chelsea selepas menerima hantaran Moussa Sissoko dari sebelah kiri.
Newcastle kemudian kehilangan Steven Taylor apabila dia menerima kad kuning kedua pada minit ke-81 dan ketiadaan pemain pertahanan itu membuka ruang buat Chelsea mempertingkatkan asakan.
Didier Drogba yang dimasukkan sebagai pemain gantian kepada Willian segera memberi impak apabila menjaringkan gol pada minit ke-83 untuk memberi sedikit harapan buat Chelsea tetapi Newcastle kental bertahan bagi memastikan The Blues merasai keperitan kekalahan buat kali pertama selepas 14 perlawanan liga musim ini.
Kekalahan itu bermakna Chelsea terlepas peluang menjarakkan diri daripada pencabar terdekat, Manchester City dengan kelebihan sembilan mata dan The Citizens kini berpeluang merapatkan jurang jika mampu mengatasi Everton. – AGENSI
No comments:
Post a Comment