KUALA LUMPUR - “Kita dapat maklumat, Thailand sendiri mahu Malaysia pergi ke final. Mereka anggap kita ini antara pasukan yang memberi cabaran hebat kepada skuad Gajah Putih”.
Demikian kata jurulatih Harimau Malaya, Dollah Salleh yang bertekad mahu membawa pasukannya ke pentas akhir dalam usaha memburu kejuaraan kedua Piala AFF Suzuki.
Namun, Malaysia terlebih dahulu perlu menewaskan Vietnam yang dibimbing Toshiya Miura dalam perlawanan separuh akhir sebelum melunaskan hajat Thailand.
Manakala skuad Gajah Putih pula akan bertemu Filipina dalam usaha mereka menempah tiket ke slot akhir.
Barisan kendalian Dollah sedikit tempang setelah kehilangan dua tonggak penting, Amri Yahyah dan ketua pasukan, Shukor Adan menjelang pertemuan separuh akhir pertama menentang juara Kumpulan A itu di Stadium Shah Alam Ahad ini.
Biarpun Dollah masih ‘kusut’ memikirkannya, pengendali berusia 51 tahun itu sudah pun mendapat bayangan awal siapa yang bakal menggalas tanggungjawab kedua-dua pemain berkenaan.
“Setakat ini, saya tak pasti lagi. Saya ada masa empat hingga lima hari lagi untuk menetapkannnya. Saya harap saya dapat menentukan siapa yang akan ganti mereka.
“Tapi, saya nampak jugalah pemain-pemain yang sudah ada dalam fikiran saya, cuma saya belum lagi mencubanya. Saya mahu pastikan pengganti Amri dan Shukor kena lebih tahu peranan mereka.
“Saya juga mahu pemain yang menggantikannya dapat menampung ketiadaan mereka,” katanya semalam.
Amri dan Shukor tidak dapat beraksi pada separuh akhir pertama ekoran digantung perlawanan.
Ketika ditanya mengenai siapa yang akan menggantikan tugas kapten selepas Shukor, bekas penyerang negara itu berkata, beliau akan menelitinya semasa dalam sesi latihan yang akan bermula hari ini.
Dalam pada itu, Dollah berkata, kekalahan 1-3 dengan Vietnam dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Nasional My Dinh, 16 November lalu tidak wajar dijadikan ukuran kerana selaku jurulatih kebangsaan baharu, dia perlu banyak melakukan eksperimen.
“Semasa di Vietnam saya masih lagi tercari-cari untuk mendapatkan kesebelasan terbaik dan saya sentiasa cuba menentukan pemain yang sedikit sebanyak hanya untuk persiapan.
“Sebab itu saya tak berapa hirau sangat dengan apa yang berlaku pada waktu itu dan yang penting, saya sudah ada kesebelasan terbaik dan nampaknya pemain-pemain telah serasi antara satu sama lain.
“Kalau kita lihat tiga perlawanan dalam kumpulan, perubahan berlaku dalam setiap perlawanan. Nampak banyak peningkatan dan saya percaya semakin lama kita semakin mantap,” katanya yang menggalas jurulatih kebangsaan sejak Jun lepas.
No comments:
Post a Comment