Tuesday, 6 October 2015

Melaka sedia mencabar


JANGAN main-main dengan Melaka United. Walaupun mereka sudah lama tidak beraksi dalam Liga Premier, namun juara Liga FAM musim 2015 itu tidak boleh di pandang sebelah mata.
Selepas berjaya kembali ke saingan Liga Premier musim depan, Melaka sudah memasang hajat besar dan itu bermakna mereka sudah membuat persiapan rapi untuk memastikan kehadiran mereka dirasai.

Sasaran awal mereka adalah untuk berada dalam kelompok empat teratas dan ia tidak mustahil untuk dicapai jika barisan pemainnya terus menunjukkan kesungguhan untuk melangkah ke hadapan.
Sebagai persiapan awal, Persatuan Bola Sepak Melaka akan menampilkan pasukan yang lebih digeruni dengan beberapa percaturan baharu termasuk mengambil beberapa tenaga import berkualiti.
Presidennya, Datuk Idris Haron berkata, beberapa perbincangan dan lawatan telah dilakukan oleh pengurusan badan bola sepak negeri itu bagi mencari beberapa pemain dari luar untuk diserap ke dalam pasukan musim depan.
“Kita melihat pasukan ini perlu mempunyai pemain-pemain import bagi mewarnai kembali bola sepak Melaka, sekali gus dapat menarik peminat-peminat kembali memenuhi stadium dalam setiap perlawanan di samping memberi sema–ngat kepada pasukan.
“Kita akan bentuk pasukan yang lebih kuat dan sasaran kita musim depan adalah untuk berada dalam kedudukan empat pasukan teratas Liga Premier,” kata Idris ketika ditemui pada majlis perarakan membawa Piala Liga FAM 2015 di Dataran 1Malaysia, Klebang, Melaka semalam.
Melaka yang menjuarai Liga FAM musim ini selepas menewaskan Perlis 3-2 pada perlawanan akhir telah melayakkan diri bersama pasukan dari utara tanah air itu apabila masing-masing mengungguli kedudukan teratas Kumpulan A dan B.
Menurut Idris, pihaknya turut meletakkan sasaran untuk kembali layak beraksi pada kempen Piala Malaysia tahun depan.

Sementara itu, kejayaan Melaka memenangi Liga FAM 2015 pada 29 Ogos lalu di Stadium Hang Jebat turut dikongsi bersama rakyat negeri berkenaan apabila piala berprestij itu dibawa ke sekitar daerah Alor Gajah, Jasin dan Melaka Tengah.

Para pemain dan pihak pengurusan pasukan diarak menaiki bas tanpa bumbung bersama trofi bermula di Stadium Hang Jebat dan menemui peminat di setiap lokasi persinggahan.
Antara laluan yang dilalui perarakan itu adalah Dataran Keris Alor Gajah, Paya Rumput, Rembia, Durian Tunggal, Bemban, Jasin Bestari, Air Molek, Kandang, Bachang, Cheng dan berakhir di Dataran 1Malaysia, Klebang.

No comments:

Post a Comment