Saturday, 3 October 2015

BPL : MC 6-1 NewCastle

MC : Aguero 42, 49, 50, 60, 62 De Bruyne 53
NU : Mitrovic 18


Sergio Aguero mencipta sejarah Liga Perdana Inggeris menghasilkan lima gol dalam masa terpantas dalam satu perlawanan, iaitu hanya 20 minit dalam kemenangan besar 6-1 ke atas Newcastle di Stadium Etihad.

Ia prestasi yang mendadak buat Kun selepas dikritik berikutan kemarau gol dengan penyudahan yang kurang tajam dalam beberapa perlawanan sejak di awal musim ini. Ternyata penyerang Argentina ini masih unggul selepas merangkul anugerah Kasut Emas Liga Perdana musim lalu.
City turun untuk mengelak dari menerima kekalahan ketiga berturut-turut selepas tewas kepada West Ham dan Tottenham Hotspur, namun menang 2-1 melawan Borussia Monchengladbach dalam saingan Liga Juara-Juara peringkat Kumpulan D, Rabu lalu.

Pasukan pelawat, Newcastle masih belum meraih sebarang kemenangan dalam Liga Perdana musim ini namun seri 2-2 dengan Chelsea dalam perlawanan terakhir mereka di St James’ Park dan seri 0-0 dengan Manchester United di Old Trafford di awal musim.
City bermula dengan meyakinkan apabila tepisan sepakan percuma Kevin De Bruyne oleh Tim Krul terlantun dan hinggap di kaki David Silva untuk dihantarkan kepada Fernando, namun sempat dihadang pertahanan the Magpies.
Selang seminit kemudian, Silva pula memperolehi bola yang ditanduk keluar Kevin Mbabu lalu cuba dirembat masuk Merlin namun melambung tinggi melepasi palang.
Newcastle turut menemui ruang apabila hantaran Mbabu menemui Aleksandar Mitrovic namun percubaannya berjaya ditangkap Joe Hart. Pada minit ke-18 Mitrovic sekali lagi mendapat peluang dan cubaannya kali ini masuk untuk mendahului tuan rumah 0-1.
Sepuluh minit kemudian, penyerang muda asal Serbia itu hampir menambah gol kedua pelawat namun Hart tampil menepis untuk mengelak gawangnya dari terbolos berturutan. Pada minit ke-41 kerjasama Silva dan Pablo Zabaleta ditanduk Fernandinho kepada Sergio Aguero yang menunggu di pintu gol lalu disundul masuk untuk gol penyamaan.
Ia sekaligus menamatkan penantian gol melalui perlawanan terbuka sejak kali terakhir dijaringkannya ketika menentang Chelsea, Jun 2015 lalu.
Sekembali di babak kedua, permainan menjadi lebih rancak dan hanya empat minit selepas perlawanan disambung semula hantaran cantik Kevin De Bruyne menemui Aguero untuk meledak gol kedua diikuti gol ketiga seminit kemudiannya menjadikan jaringan hatrik kelima Kun buat kelab.
Ia ternyata tidak terhenti di situ, apabila tiga minit kemudiannya, Kevin De Bruyne pula menyempurnakan cantik hantaran silang Jesus Navas dengan tendangan volley menjadikan kedudukan 4-1. Ia juga merupakan gol keempat De Bruyne musim ini semenjak menyertai City dari Wolfsburg.
Siri pemusnahan the Citizens terus berlanjutan apabila Aguero menambah gol kelima dan keenam selang dua minit kedua-duanya melalui hantaran lintang Silva untuk membawa kemenangan bergaya 6-1, kemenangan terbesar Liga Perdana Inggeris musim ini .
Aguero turut menjadi pemain kelima dalam sejarah Liga Perdana yang menghasilkan lima gol dalam satu perlawanan dan tanpa perlu diperjelaskan lagi telah dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan (MOTM).
Berikutan kemenangan tersebut, City kembali ke puncak carta Liga Perdana Inggeris selepas 8 perlawanan dengan Manchester United akan menentang Arsenal di Stadium Emirates jam 4 petang Ahad (11 malam Malaysia).
Saingan Liga Perdana akan berhenti rehat selama dua minggu untuk memberi laluan kepada kejohanan antarabangsa termasuk Kelayakan Euro 2016 dengan Bournemouth menjadi lawan seterusnya pada 17 Oktober di Stadium Etihad, sebelum menerima kunjungan Sevila di peringkat Kumpulan D, Liga Juara-Juara pada 21 Oktober dan bertemu Manchester United di Old Trafford pada 25 Oktober.
TAMBAHAN:
Sementara itu Manuel Pellegrini penuh pujian atas pencapaian penyerangnya yang bangkit mendadak selepas kemarau gol musim ini. Bos turut mendedahkan yang Kun menerima rawatan fisio semasa rehat namun meledak tambahan empat gol di babak kedua, serta sebab digantikan pada minit ke-66. Baca selanjutnya reaksi bos di pautan ini.
Manakala seorang lagi penyumbang gol, Kevin De Bruyne yang turut membantu dua jaringan gol Kun mengungkapkan rasa gembira dengan golnya walaupun disifatkannya tidak sempurna dan melahirkan rasa bangga dengan pencapaian Aguero serta mengakui seronok bermain di samping Kun.

Begitu juga Joe Hart yang memangku kapten pasukan dengan ketiadaan Vincent Kompany dan Yaya Toure mengulangi yang beliau sentiasa percaya Kun akhirnya akan kembali menjaringkan gol-gol buat pasukan. Baca selanjutnya reaksi De Bruyne dan Hart di pautan ini.
Semoga gol-gol Aguero menamatkan kritikan dan ketidak puasan hati para peminat dan diharap Kun terus kekal cergas untuk menghadirkan gol-gol buat City!








No comments:

Post a Comment