Tuesday, 6 October 2015

LvG buntu aksi longlai United


LONDON – Pengurus Manchester United, Louis van Gaal (LvG) mengakui, gara-gara beraksi di bawah prestasi sebenar pada separuh masa pertama menyebakan pasukan bimbingannya menerima kejutan besar apabila Arsenal berjaya menjaringkan tiga gol dalam tempoh 20 minit pertama.
United tewas 0-3 kepada pasukan kendalian Arsene Wenger pada aksi Liga Perdana England di Emirates kelmarin selepas Alexis Sanchez meledak dua gol dan satu lagi gol berjaya dijaringkan oleh Mesut Ozil.
Kekalahan tersebut menyaksikan United yang sebelum ini menerajui liga turun ke tempat ketiga di belakang Manchester City sebagai pendahulu dan Arsenal yang melonjak ke tempat kedua.
“Kami tidak pernah menjangkakannya. Kami berada di kedudukan teratas liga selepas memenangi empat perlawanan sebelum ini dan kami perlu terus bekerja untuk menyelamatkan kedudukan kami. Namun, situasi sebegini (kalah) sentiasa boleh berlaku apabila menentang Arsenal. Kami perlu mencari puncanya.
“Kami memulakan aksi tanpa emosi. Apabila anda bermula seperti itu, anda tidak akan berjaya memenangi perlawanan. Kami gagal menyekat pemain tengah Arsenal, mereka sangat baik dan merupakan pasukan yang terbaik.
“Saya sudah bercakap dari awal, apabila kami memberikan mereka ruang, ia akan mendatangkan masalah. Ketinggalan 0-2 selepas lima minit menjadikan keadaan lebih sukar,” katanya.
Ketika ditanya mengenai kegagalan United memulakan aksi dengan baik, van Gaal memberitahu, beliau akan mengadakan post-mortem bersama pemain dan kakitangan pasukan itu.
“Saya sedang mencari jawapannya. Saya tidak pernah lihat aksi sebegini sebelum ini. Saya perlu melemparkan persoalan itu kepada semua pemain saya. Ia bukan disebabkan seorang pemain sahaja.
“Lebih daripada separuh pemain yang saya turunkan tidak melakukan apa yang telah dipersetujui ketika kami berbincang mengenai strategi permainan sebelum menentang Arsenal,” ujarnya. – Agensi


No comments:

Post a Comment