IPOH – Johor Darul Ta’zim meleburkan sisa peluang Perak untuk layak ke suku akhir persaingan Piala Malaysia apabila membenam pasukan tuan rumah 2-1 dalam perlawanan Kumpulan B di Stadium Perak semalam yang menyaksikan pasukan pelawat menjaringkan gol kontroversi.
Kekalahan itu menutup terus peluang Perak untuk meneruskan kemaraan setelah kekal di anak tangga tercorot kumpulan dengan tiga mata hasil satu kemenangan.
Keputusan itu bermakna slot terakhir ke suku akhir dari Kumpulan B kini menjadi perebutan di antara pasukan Sarawak (7 mata) dan ATM (4 mata) yang akan ditentukan menerusi perlawanan pada 21 November ini.
Dalam perlawanan semalam, meskipun sudah mengesahkan kemaraan ke suku akhir, JDT yang masih segar dengan kejayaan muncul juara Piala AFC, tetap mempamerkan aksi bertenaga.
Begitupun, pasukan tuan rumah terlebih dahulu mencipta jaringan menerusi pemain dari Brazil, Charles Souza Chad pada minit ke-29 setelah menanduk sepakan bebas Mohd. Hafiz Ramzan untuk menewaskan pengaja gol JDT, Izham Tarmizi Roslan.
Kedudukan itu bagaimanapun tidak bertahan lama apabila JDT bangkit menyamakan kedudukan menerusi jaringan Mohd. Amri Yahyah pada minit ke-33 apabila pemain itu pantas menyambar bola yang ditampan penjaga gol Perak, Hairol Fazreen setelah Haris Harun melepaskan rembatan kencang.
Jaringan tersebut mencetuskan kontroversi kerana pada awalnya dibatalkan oleh pengadil Zulkifli Ahmad kerana offside setelah penolong pengadil 2, Mohd. Fairuzi Mat Desa mengangkat bendera.
Namun pembatalan itu dibantah keras oleh pemain JDT kerana seorang pemain tuan rumah iaitu Mohd. Hafiz Ramdan masih berada pada posisi terakhir pertahanan Perak, namun pemain itu berada dalam keadaan terbaring kerana cedera.
Setelah berbincang dengan Mohd. Fairuzi, Zulkifli kemudiannya membenarkan jaringan tersebut untuk JDT mengikat kedudukan 1-1.
PENJAGA gol JDT, Izham Tarmizi Roslan sempat menumbuk bola ketika cuba menghalang kemaraan pemain Perak, Wong Namkoong (kanan) dalam perlawanan Piala Malaysia di Stadium Perak, Ipoh semalam. JDT menang 2-1.
JDT kemudian mendahului apabila Safee Sali menanduk kemas hantaran lintang Harus Harun pada minit ke-45 untuk pasukan pelawat menutup babak pertama dengan mendahului 2-1.
Perak hampir memperoleh peluang untuk jaringan penyamaan apabila pemain dari Korea Selatan, Woong Namkung dijatuhkan di dalam kawasan penalti JDT pada minit ke-73 namun pengadil tidak memberikan sepakan penalti.
Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Datuk Sharulzaman Yahya berkata, Pafa akan meminta penjelasan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengenai keputusan pengadil yang membenarkan jaringan Amri.
Menurutnya, apa yang beliau faham, kedudukan seseorang pemain yang tercedera tidak boleh diambil kira walapun di mana sekalipun posisi pemain tersebut berada.
“Jaringan kontroversi ini telah merencatkan semangat dan rentak permainan pasukan Perak,” katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan.
No comments:
Post a Comment