Satu sumber dalam penyiasatan itu berkata, Benzema telah mengaku bersemuka dengan Valbuena mengenai pita seks “sebagai mewakili seorang rakannya ketika kecil” yang dia sendiri te­lah dihubungi oleh pengugut yang menyimpan pita seks itu.

Bagaimanapun, peguam Benzema berkata pemain itu tidak bersalah dan “tidak membuat sebarang pengakuan”.
Benzema, 27, telah didakwa bersubahat untuk mengugut dab berkonspirasi untuk tujuan jenayah, kata pejabat pendakwaraya di Versailles, dekat Paris.

Dakwaan itu boleh menyebabkan dipenjara sekurang-kurang­nya lima tahun.

Dia juga telah dilarang daripada bertemu Valbuena, 31, yang merupakan pemain tengah Lyon di mana Benzema memulakan kariernya.

Sejam selepas Benzema didakwa, jurulatih Perancis, Didier Deschamps berkata dia mengeluarkan kedua-dua pemain itu daripada skuad yang akan bermain dalam perlawanan persahabatan menentang Jerman dan England, masing-masing pada 13 dan 17 November.

Deschamps berkata, Benzema juga sebenarnya cedera dan dia mengeluarkan Valbuena kerana fikiran pemain itu tidak tenteram.

Jurulatih itu enggan menjawab soalan lain berkaitan kes itu.

“Yang terbaik ialah membiarkan undang-undang menjalankan tugasnya dan membuat keputusan sewajarnya,” kata Deschamps.

Benzema telah menjaringkan 27 gol dalam 81 perlawanan untuk Perancis dan telah menjaringkan enam gol untuk Real Madrid dalam liga musim ini. Dia tidak bermain ketika Real menang 1-0 ke atas Paris Saint-Germain dalam Liga Juara-juara Selasa lalu.

Presiden kelab gergasi Sepanyol itu Florentino Perez menyua­rakan “sokongan penuh” kepada Benzema, yang menjalani latihan berseorangan semalam, menurut kenyataan Real.
Pemain itu memberitahu penyiasat bahawa dia bercakap dengan Valbuena mengenai pita seks berkenaan ketika pasukan Perancis berkumpul untuk latihan pada 5 Oktober bagi menghadapi perlawanan persahabatan dengan Armenia dan Denmark.

Tidak jelas apa yang dikatakan antara kedua-dua pemain itu, yang disangkakan kawan rapat.
Sumber rapat dengan penyia­satan itu berkata: “Karim Benzema telah mengaku bercakap dengan Valbuena atas permintaan seorang rakan semasa kecil, yang telah ditemui oleh tiga peng­ugut yang menyimpan pita seks ber­kenaan.
“Benzema berkata dia telah bersetuju dengan rakan semasa kecilnya itu mengenai apa yang dia perlu cakapkan supaya rakan sepasukannya (Valbuena) akan berbincang secara langsung de­ngannya.”

Benzema telah ditangkap pada Rabu lalu dan bermalam sebagai tahanan di Versailles sebelum dibawa ke mahkamah dalam sebuah kereta polis yang bercermin gelap.

Dia telah dibebaskan semalam selepas didakwa.

Peguamnya Sylvain Cormier berkata pemain itu “tidak terlibat dalam perbuatan peras ugut itu”.
“Karim Benzema akan menunjukkan bahawa dia berniat baik,” katanya.

Valbuena meninggalkan kompleks latihan Lyon semalam tanpa memberikan komen.

Kes peras ugut itu bermula pada Jun lalu, apabila Valbuena melaporkan kepada polis selepas dihubungi oleh lelaki tidak dikenali yang berkata dia menyimpan pita seks berkenaan, tetapi tidak menyatakn jumlah wang yang dituntut. – AFP