Friday, 13 November 2015

Rooney berasa semakin tertekan

LONDON – Ketua pasukan Manchester United, Wayne Rooney mengakui berasa sangat tertekan kerana terpaksa mengharungi cabaran sengit untuk mendapatkan posisi dalam skuad England.
Tekanan itu semakin dirasai Rooney selepas dia diketepikan pada aksi persahabatan antara England dengan Sepanyol semalam.
Ia juga berikutan pengurus England, Roy Hodgson lebih berminat menugaskan penyerang Tottenham Hotspur, Harry Kane untuk mengetuai posisi jentera serangan The Three Lions pada aksi tersebut.
Walaupun Hodgson hanya ingin melakukan eksperimen menerusi beberapa pertukaran pemain dalam skuad England, Rooney tanpa berselindung merasakan masa depannya untuk beraksi bersama England masih belum terjamin.
“Setelah diketepikan, saya rasa perjalanan karier sebagai pemain England telah berubah menjadi semakin mencabar. Saya harus buktikan kemampuan yang ada pada diri saya.
“Saya mengakui, sejak Hodgson membimbing England, prestasi saya semakin baik dan berjaya meledakkan banyak gol. Saya masih berharap agar diberi peluang sekali lagi untuk mencipta rekod jaringan gol di peringkat antarabangsa.
“Sebagai pemain bola sepak, memang berasa teruja untuk terus beraksi mewakili negara. Namun apabila ada pemain lebih hebat seperti Jamie Vardy, dia juga harus diberi peluang. Sepanjang karier saya bersama England, tahun ini adalah paling baik untuk England kerana dibarisi kumpulan penyerang berkualiti,” ujar Rooney.
September lalu, pemain berusia 30 tahun itu berjaya mengatasi rekod penjaring terbanyak England, sekali gus mengatasi Bobby Charlton.
Ia termasuk kejayaan Rooney meledak gol ke-50 ketika mengatasi Switzerland pada aksi kelayakan Euro 2016 baru-baru ini. – Agensi

No comments:

Post a Comment