Sunday, 24 April 2016

Iheanacho buat Stoke menderita

 
IHEANACHO menyudahkan jaringan keempat untuk City sambil disaksikan penjaga gol Stoke, Jakob Haugaard pada perlawanan malam tadi.

MANCHESTER – Dua gol disudahkan Kelechi Iheanacho pada minit ke-64 dan ke-74, disertai jaringan Fernando Reges serta Sergio Aguero meletakkan Stoke City dalam keadaan sengsara pada aksi saingan Liga Perdana England di Stadium Etihad malam tadi.
Kemenangan tersebut sekali gus me­rangsang lonjakan semangat kepada skuad bimbingan Manuel Pellegrini itu untuk menghadapi Real Madrid menjelang aksi saingan separuh akhir Liga Juara-Juara yang dijadualkan minggu depan.
Pada aksi perlawanan malam tadi, Manchester City terlebih dahulu terpaksa bekerja keras untuk mengawal pergerakan pemain Stoke yang ter­desak mendapatkan kemenangan selepas skuad bimbingan Mark Hughes itu dibelasah Tottenham Hotspur 4-0, Rabu lalu.
Bagaimanapun, kelekaan jentera pertahanan menyebabkan jaring gawang Stoke digegarkan City pada minit ke-35 menerusi ja­ringan Fernando.
The Citizens kemudian mengukuhkan kedudukan pada minit kecederaan babak pertama menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Aguero.
Memasuki babak kedua, Stoke yang tampak goyah dalam usaha mengawal aksi serangan City ternyata gagal mengekang keghairahan skuad The Citizens menambah jaringan apabila Iheanacho menyudahkan jaringan selepas memanfaatkan hantaran dilakukan Pablo Zabaleta pada minit ke-64.
Selang 10 minit kemudian, City menambah derita Stoke apabila pemain kelahiran Nigeria itu sekali lagi menggegarkan jaring gawang skuad pelawat sejurus menerima hantaran Wilfried Bony.
Tiga mata yang diraih ke atas Stoke meletakkan City pada kedudukan tangga ketiga liga dengan kutipan keseluruhan 64 mata. - Agensi

No comments:

Post a Comment