MOHD. AMIRUL IZWAN (empat dari kanan) cuba meredakan ketegangan para pemain Kedah dan Johor DT pada perlawanan Liga Super di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam tadi.
IMPIAN Johor Darul Takzim (JDT) untuk menebus kekecewaan setelah tewas kepada Kedah minggu lalu tidak kesampaian apabila sekadar seri 1-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam tadi.
Skuad Helang Merah yang masih segar dengan kemenangan 2-1 pada aksi separuh akhir pertama Superbest Power Piala FA pada 16 April lalu terlebih dulu di depan menerusi jaringan Badrol Bakhtiar seawal minit pertama.
Tersentak dengan jaringan itu, anak-anak buah Mario Gomez yang terdesak memburu gol menggandakan asakan sehingga menimbulkan keadaan tegang akibat beberapa kekasaran dalam kalangan pemain, namun dapat dikawal dengan baik oleh pengadil perlawanan, Mohd. Amirul Izwan Yacob.
Skuad Harimau Selatan akhirnya mampu menarik nafas lega sebelum masuk ke bilik persalinan apabila memperoleh sepakan penalti yang disempurnakan dengan baik pemain import, Juan Martin Lucero pada masa tambahan babak pertama untuk menjadikan kedudukan 1-1.
Johor DT yang tekad melunaskan dendam tewas di gelanggang sama Sabtu lalu mempunyai beberapa peluang untuk menjaringkan gol, namun dipersiakan barisan depan.
Dalam pada itu, impian Sarawak untuk meraih kemenangan di laman sendiri di Stadium Negeri, Kuching tidak kesampaian apabila sekadar seri 1-1 dengan Pahang.
Tuan rumah terlebih dulu di depan menerusi jaringan Juninho Aparecido pada minit ke-30, sebelum pemain import Tok Gajah, Dalibor Volas menyamakan kedudukan pada minit ke-56.
Sementara itu, Kelantan bangkit daripada kekalahan 3-4 kepada Pahang Rabu lalu dengan menjadikan Terengganu sebagai mangsa untuk meraih kemenangan ketiga daripada sembilan perlawanan Liga Super pada aksi di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.
Wan Zack Wan Haikal Wan Nor mencuri tumpuan penyokong The Red Warriors apabila menjaringkan dua gol pada minit ke-13 dan m-62, manakala Fakhrul Zaman Wan Abdullah Zawawi menghasilkan gol ketiga pada minit ke-89.
Di Stadium Hang Jebat, Melaka, Polis Diraja Malaysia (PDRM) gagal memanfaatkan peluang untuk meraih kemenangan ke atas Selangor yang beraksi 10 pemain selepas Mohd. Nazmi Faiz Mansor dilayangkan kad merah pada minit ke-71 apabila sekadar seri tanpa jaringan.
No comments:
Post a Comment