PEMAIN PKNS FC, Juan Manuel Cobelli (kiri) terlepas peluang menyumbat gol ke gawang Johor DT pada perlawanan akhir Piala FA di Stadium Shah Alam malam tadi. Harimau Selatan muncul juara setelah menewaskan The Red Ants 2-1.
JOHOR Darul Takzim menepati ramalan sebagai pasukan pilihan apabila berjaya menjadi juara Superbest Power Piala FA 2016 dengan menundukkan PKNS FC 2-1 dalam aksi final di Stadium Shah Alam, malam tadi.
Kejayaan itu sekali gus menyaksikan skuad Harimau Selatan muncul sebagai kelab tempatan pertama menjadi juara Piala FA dan pasukan kedua selepas Lions XII di dalam sejarah Liga Malaysia (Liga M).
Sebagai rekod, Lions XII muncul sebagai juara pertama apabila wakil jemputan dari Singapura itu menewaskan Kelantan pada tahun lalu.
Beraksi di separuh masa pertama di depan lebih 75,000 penyokong, PKNS tidak mengambil masa lama untuk melakukan kejutan apabila mendahului perlawanan seawal minit kelima menerusi sepakan penalti Gabriel Guerra.
Kejayaan itu hadir apabila Gonzalo Soto dikasari dalam kawasan kotak penalti sekali gus menyaksikan Guerra tidak berdepan masalah untuk menewaskan penjaga gol Johor DT, Mohd. Izham Tarmizi Roslan.
Tersentak dengan jaringan awal dari The Red Ants, skuad Harimau Selatan mengasak benteng pertahanan pasukan lawan dengan melancarkan serangan bertali arus.
Saat yang dinanti-nantikan Johor DT akhirnya tiba apabila pengadil, Syed Azhar Syed Kamar memberikan sepakan penalti kepada skuad Harimau Selatan sebaik penjaga gol PKNS, G. Jeevanathan mengasari pemain sayap lincah Harimau Selatan, Jorge Pereyra Diaz dan Safiq Rahim berjaya menunaikan tugasnya dengan sempurna untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-15.
Juara Piala AFC 2015 itu terus memberikan tekanan kepada wakil Liga Premier tersebut dan Safiq sekali lagi memainkan peranan penting apabila melakukan sepakan percuma pantas dengan melorongkan bola kepada Diaz yang berjaya menjaringkan gol kedua Johor DT pada minit ke-35.
Bersambung di separuh masa kedua, skuad bimbingan Mario Gomez terus menguasai sebahagian besar perlawanan dan terus berusaha untuk mencari gol ketiga dengan mengasak benteng pertahanan pasukan bimbingan E. Elavarasan.
Mohd. Aznie Taib hampir berjaya untuk ‘membunuh’ perlawanan itu lebih awal apabila memiliki peluang terbaik gol kedua peribadi tetapi Jeevanathan menjadi wira apabila berjaya menyelamatkan percubaan tepat pemain tengah Harimau Selatan itu pada minit ke-55.
PKNS mempamerkan kebangkitan dalam tempoh 10 minit terakhir menerusi dua peluang dari Matias Jadue dan Juan Corbelli tetapi kedua-dua percubaan tepat The Red Ants itu tersasar sekali gus keputusan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan.
No comments:
Post a Comment