Ipoh: Perak menyerahkan sepenuhnya urusan pengambilan pemain baru ketika jendela perpindahan dibuka mulai 20 Jun ini kepada ketua jurulatih Karl Heinz Weigang.
Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) Datuk Seri Abdul Puhat Nayan berkata Weigang diberi kuasa sepenuhnya untuk mencari pemain terutama awang import bagi memperkuatkan pasukan.
“Tiada campur tangan daripada kami. Beliau bebas memilih mana-mana pemain yang dirasakan perlu dan mampu memperkasakan pasukan,” katanya.
Abdul Puhat yakin jurulatih penuh pengalaman itu akan dapat mencari pemain import berwibawa untuk memantapkan Bos Gaurus.
Musim ini, Perak mempunyai khidmat empat pemain import Thiago Junio Aquino, Elias Fernandes, Eric Weeks Lewis dan Vokhid Shodiev.
Bagaimanapun Thiago menjadi calon yang akan dikekalkan kerana memberi sumbangan bermakna kepada pasukan termasuk diberi kepercayaan mengetuai pasukan semasa ketiadaan Nasir Basharuddin.
Selain itu, Elias, penyumbang beberapa gol juga dijangka dikekalkan manakala Weeks yang memiliki skil tinggi sudah dipancing kelab Indonesia, Madura.
Justeru Vokhid yang gagal memberi sumbangan besar kepada pasukan dan hanya menjaringkan satu gol dianggap sebagai calon yang dikhabarkan bakal digantikan.
No comments:
Post a Comment