TOULOUSE – Hungary memiliki potensi yang cerah untuk muncul sebagai sebuah pasukan hebat pada masa depan meskipun tersingkir daripada kempen kejuaraan Euro 2016 selepas ditewaskan Belgium 4-0 dalam saingan peringkat kalah mati awal pagi semalam.
Skuad The Magical Magyars itu mencipta kejutan pada kempen Euro 2016 apabila muncul selaku juara saingan Kumpulan F mengatasi pasukan gergasi Eropah yang juga naib juara Euro 2000, Portugal.
Jurulatih Hungary, Bernd Storck percaya, pengalaman tersingkir pada pusingan kalah mati Euro 2016 wajar disifatkan sebagai detik ‘manis’ kerana ia akan menjadi pengajaran berguna buat pasukan negara itu.
“Walaupun kalah, kami boleh meninggalkan kempen kejuaraan ini dengan penuh rasa bangga kerana Hungary tidak pernah menentang pasukan hebat seperti Belgium.
“Saya sendiri menikmati perlawanan itu yang menyaksikan kami nyaris menyamakan kedudukan. Selepas ini, kami akan memanfaatkan pengalaman itu dengan sebaik mungkin,” kata Storck.
Gol sulung Belgium hadir pada minit ke-10 menerusi tandukan Toby Aldeiwereld yang disudahkan selepas Kevin de Bruyne melakukan sepakan percuma.
Bagaimanapun, Hungary ternyata mampu memberi masalah kepada Belgium apabila mereka terpaksa menanti selama kira-kira 60 minit untuk mendapatkan jaringan gol kedua melalui Michy Batshuayi.
Eden Hazard pula menambah gol ketiga Belgium pada minit ke-80, diikuti Yannick Ferreira Carasco mencetak jaringan keempat pada penghujung perlawanan.
“Kami tidak pernah mengalah dan terus berusaha mendapatkan jaringan penyamaan. Belgium lebih bijak memanfaatkan semua kesempatan,” jelas Storck. - AGENSI
No comments:
Post a Comment