PEMAIN tengah Argentina, Ever Banega (tengah) meraikan jaringannya bersama Angel Di Maria (kiri) dan Gonzalo Higuain ketika menentang Chile dalam perlawanan Kumpulan D, Copa America di Stadium Levi, Santa Clara, Amerika Syarikat semalam. USA TODAY Sports
Di Maria menjaringkan gol pada minit ke-51 setelah menerima hantaran daripada Ever Banega, dan selepas itu dia pula menjadi perancang kepada gol Banega pada minit ke-59.
Pilihan utama Argentina mempamerkan permainan mantap sekali pun terpaksa beraksi tanpa kelibat kapten Lionel Messi, yang ditimpa kecederaan, sewaktu menumpaskan Chile 2-1 dalam perlawanan pembukaan Copa America awal pagi ini.
Sebaik sahaja selepas menjaringkan gol, Di Maria menyingkap jersinya dan memaparkan kemeja T yang tertera ayat “Nenek, saya sangat rindukan nenek.”
“Amat sukar berada jauh dari tanahair apabila perkara sebegini berlaku. Ibu meminta saya untuk kekal di sini bersama pasukan dan memenangi perlawanan,” kata Di Maria yang mengalirkan air mata ketika ditemu bual selepas perlawanan.
Jose Pedro Fuenzalida menjaringkan gol tunggal Chile pada minit ke-93. Sebanyak lima kad kuning dilayangkan dalam perlawanan tersebut yang diibarat seperti pertemuan ulangan final Copa America pada tahun lalu yang berkesudahan La Roja meraih kemenangan menerusi sepakan penalti penentuan.
Kad kuning dilayangkan kepada Di Maria dan Gary Medel pada minit ke-65, setelah kedua-dua pemain itu bertelingkah.
Kali terakhir Argentina menewaskan Chile 2-1 ialah dalam kelayakan Piala Dunia di Santiago 24 Mac lalu. – AP
No comments:
Post a Comment