IPOH - Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) percaya keputusan membatalkan penyertaan Perlis dalam saingan Liga Premier 2019 oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) tidak akan menjejaskan kerancakan dan tumpuan peminat bola sepak tempatan.
Setiausaha Kehormatnya, Tajul Hasnan Omar berkata, dengan pembaharuan seperti liputan secara langsung setiap perlawanan Liga Malaysia menerusi sistem jalur lebar, ia dilihat mampu membantu dalam mencetuskan perkembangan positif.
"PAFA percaya MFL yang diterajui pengerusinya, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sedang dalam usaha untuk terus membantu dan meningkatkan profesionalisme setiap pasukan Liga Malaysia ke tahap yang lebih tinggi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas pembatalan penyertaan Perlis, beliau berkata, PAFA selaku rakan kongsi MFL menyokong penuh keputusan tersebut memandangkan Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) telah diberikan peluang untuk mengatasi masalah kewangan yang dihadapi.
"PAFA sedia maklum bahawa ia keputusan yang sukar diambil oleh ahli lembaga pengarah MFL, namun PAFA percaya keputusan yang mewakili suara 23 pasukan Liga Malaysia ini dibuat demi kepentingan pemain dan Liga Malaysia itu sendiri," katanya.
Pada 20 Februari lalu, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam menjelaskan penyertaan Perlis dalam kancah Liga Malaysia dibatalkan serta-merta kerana tidak memiliki jaminan kewangan yang kukuh untuk mengharungi saingan musim ini.
Beliau turut menegaskan MFL sudah memberikan bantuan dan ruang secukupnya kepada PFA, namun badan induk itu gagal untuk mencari jalan penyelesaian. - Bernama
No comments:
Post a Comment