LONDON - Pengurus Manchester United, Louis van Gaal dilaporkan bersedia untuk 'memulangkan' Nani ke Sporting Lisbon bagi mendapatkan tonggak pertahanan Argentina, Marcos Rojo ke Old Trafford.
Van Gaal terpaksa melakukan pertukaran itu bagi mengatasi krisis di benteng pertahanan United yang tampak goyah ketika tewas 1-2 kepada Swansea City pada aksi pembukaan Liga Perdana England di Stadium Old Trafford, Sabtu lalu.
United gagal mendapatkan khidmat tonggak Borussia Dortmund, Mats Hummels dan Thomas Vermaelen yang membuat keputusan untuk menyertai Barcelona dari Arsenal.
Bagaimanapun, United optimis dapat merealisasikan perpindahan itu apabila bersedia mendapatkan khidmat Rojo dengan harga £16 juta(RM84.3 juta) bersama Nani yang dibeli dari Sporting Lisbon pada 2007.
Van Gaal dilapor kurang gembira dengan prestasi semasa Nani yang tidak konsisten dan ketika ini, perbincangan masih dijalankan antara kedua-dua pihak.
Rojo turut mencetuskan kontroversi apabila 'ponteng' latihan gara-gara mahu menyertai United dengan kadar segera.
Bagaimanapun, dia memohon maaf di atas tindakannya itu.
"Saya minta maaf kepada Sporting kerana tanpa mereka, siapalah saya sekarang.
"Saya juga mengucapkan terima kasih kepada mereka kerana masih mempercayai saya," katanya yang kembali menyambung latihan kelmarin. - Agensi
No comments:
Post a Comment