PEMAIN tengah Liverpool, Philippe Coutinho (kanan) meraikan jaringannya ketika menentang kelab Jerman, Borussia Dortmund dalam perlawanan persahabatan di Anfield, baru-baru ini. Liverpool menang 4-0
LONDON - Bekas pertahanan Manchester United, Gary Neville memperlekehkan peluang Liverpool untuk menjuarai Liga Perdana Inggeris musim ini, sambil menganggap kejayaan kelab itu bergelar naib juara musim lalu hanya satu 'keajaiban'.
"Saya tidak fikir Liverpool akan menjuarai liga. Ia cuma satu keajaiban, benar-benar keajaiban berjaya mengutip mata dan menduduki tangga kedua musim lalu.
"Saya rasa mereka telah berada pada kelajuan maksimum untuk mencapai standard yang mereka mahukan musim lalu.
"Pada satu ketika, saya fikir dengan baki tiga minggu menuju penghujung musim mereka boleh menjuarai liga kerana memiliki momentum, namun pada akhirnya mereka kecundang di akhir saingan.
"Kejayaan bagi Liverpool adalah berjaya kembali dalam kempen Liga Juara-juara dan beraksi baik pada saingan domestik. Saya tidak nampak mereka lebih kuat daripada Manchester City atau Chelsea," kata Neville.
Menurut Neville lagi, lupakan sejenak mengenai United atau Arsenal kerana dia tidak tahu ke mana hala tuju sebenar kedua-dua pasukan, namun dia percaya City dan Chelsea adalah dua pasukan yang sukar untuk digugat ketika ini.
Bercakap mengenai bekas pasukannya pula, Neville menambah, United memiliki barisan penyerang terbaik tetapi mereka tetap perlu melakukan pembelian pemain baharu untuk bergelar calon juara.
"Kecuali United melakukan dua atau tiga pembelian pemain baharu, saya tidak fikir adalah realistik untuk mereka mampu menjuarai liga musim ini," ujarnya lagi. - AGENSI
Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20140814/sl_03/Neville-perlekeh-peluang-Liverpool#ixzz3AJ4XLxC6
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment