Sunday, 24 August 2014

Gunners ada karakter juara [UTUSAN]


OLIVIER Giroud meraikan jaringannya pada minit terakhir ketika membantu Arsenal mengikat Everton 2-2 dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Goodison Park, Liverpool kelmarin. - AFP

LIVERPOOL - Sema­ngat juang dan daya tahan yang dipamerkan Arsenal ketika mengikat Everton 2-2 dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Goodison Park kelmarin membuktikan Gunners memiliki karakter untuk menjulang kejuaraan, kata pengurus pasukan, Arsene Wenger.

Gunners hampir mengalami kekalahan pertama musim ini selepas ketinggalan 2-0 sepanjang permainan, dan ketika saingan berbaki tujuh minit untuk ditamatkan, bayangan kekalahan 0-3 yang dialami pasukan itu di tangan Everton musim lalu sudah mula membayangi penyokong mereka.

Begitupun jaringan Olivier Giroud ketika permainan tinggal 40 saat untuk ditamatkan berjaya menyamakan kedudukan 2-2, iaitu tujuh minit selepas Aaron Ramsey merapatkan jurang 1-2.

Gunners sudah di ambang kekalahan ketika perlawanan hampir tamat, malah bergelut sepanjang permainan selepas Everton mendahului 2-0 pada babak pertama menerusi Seamus Coleman dan Steven Naismith.
"Ketika kami kalah 3-0 di sini musim lalu, kami sebenarnya boleh tewas dengan jaringan yang lebih besar. Ia adalah hari yang cukup malang.

"Berjaya bangkit selepas ketinggalan 0-2 kali ini membuktikan bahawa kami memiliki daya tahan dan semangat juang yang tinggi.

"Cita-cita kami adalah mencabar kejuaraan liga. Jika kami mampu mengekalkan sikap yang sama, sudah tentu kami mampu menjadi pencabar utama.

"Kami berdepan ujian besar hari ini dan pada babak pertama, ia sangat sukar. Kami menunjukkan tindak balas yang baik selepas agak gemuruh di awal permainan. Kebangkitan yang ditunjukkan sangat menakjubkan," ujar Wenger.

Giroud menanduk gol penyamaan melalui bola hantaran silang Nacho Monreal ketika perlawanan berbaki 40 saat untuk ditamatkan selepas menye­rap semangat daripada gol Ramsey.

Kehadiran Giroud yang dimasukkan selaku pemain gantian di awal babak kedua mengubah rentak Arsenal dan memaksa penjaga gol Everton, Tim Howard bekerja keras setelah banyak berehat pada 45 minit pertama.
"Pada permulaan 70-75 minit, persembahan ternyata amat sempurna dan aksi di separuh masa pertama kami tampak dominan sebagai mana tiap kali kami berdepan pasukan-pasukan besar di sini.

"Namun pemain terasa cukup hampa apabila menuju ke bilik persalinan ke­rana kami sewajarnya sudah memiliki enam mata, bukannya dua mata, " kata pengurus Everton, Roberto Martinez.
Mesut Ozil dan Per Mertesacker tampil buat kali pertama pada musim ini selepas memenangi Piala Dunia bersama Jerman, bulan lalu tetapi mereka berdua tampak masih keletihan.

Ozil, yang terpaksa bermain di posisi sayap kiri iaitu di luar posisi kebiasaan­nya gagal menangani kehadiran Coleman untuk gol pertama Everton hasil hantaran Gareth Barry.

Sebelum itu, Alexis Sanchez, yang bermain sebagai penyerang tunggal pada babak pertama, terpaksa di­gantikan oleh Giroud dan pemain antarabangsa Perancis itu tidak menghampakan Wenger dan penyokong Gunners. - AGENSI

No comments:

Post a Comment