SEGELINTIR penyokong membakar suar ketika saingan Kumpulan B kempen Piala Malaysia antara Perak dan Kedah di Stadium Perak, Ipoh malam kelmarin.
INSIDEN membakar suar selain balingan air bomb yang dilakukan oleh sekumpulan penyokong dipercayai bermotifkan sabotaj terhadap Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) ketika aksi pembukaan Kumpulan B Piala Malaysia antara Perak dan Kedah di Stadium Perak, Ipoh malam kelmarin.
Kejadian yang berlaku kira-kira pada minit ke-63 itu berlaku sejurus Perak memperoleh gol kedua menerusi rembatan kencang, Hafiz Ramdan mengakibatkan stadium diselubungi asap tebal hampir 10 minit.
Ketika diminta mengulas insiden tersebut, pengurus Perak, Datuk Azhar Ahmad (gambar kecil) berkata, ia mungkin dicetuskan oleh pihak yang sengaja mahu ‘mengenakan’ PAFA dan melihat persatuan itu sekali lagi didenda oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) gara-gara gagal mengawal penyokong sendiri.
"Saya kesal dengan insiden itu kerana kita (PAFA) telah berulang kali menasihatkan penyokong supaya tidak membakar suar, namun ia masih berlaku. Kita sudah menyiasat insiden itu tetapi tiada kumpulan penyokong yang mengaku bertanggungjawab.
"Mereka yang membakar suar itu mungkin mahu mensabotaj kita (PAFA) tetapi harus diingat jika hukuman dikenakan, bukan saja PAFA yang terpaksa membayar denda yang tinggi tetapi penyokong juga mungkin dilarang masuk ke stadium untuk menyaksikan perlawanan," kata Azhar.
Beliau berkata, sehingga semalam pihaknya belum menerima sebarang makluman mengenai insiden tersebut daripada pihak FAM, namun bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.
"Perbuatan membakar suar tidak sepatutnya berulang kerana PAFA pernah didenda kerana angkara yang sama oleh penyokong.
"Membakar suar bukan cara beretika untuk meraikan pasukan, sebaliknya ia merugikan PAFA dan penyokong sendiri," tegasnya.
Mei lalu, FAM mengenakan denda RM70,000 terhadap PAFA dan Perak dikenakan hukuman beraksi di Stadium Perak tanpa penonton dalam empat perlawanan Liga Super kerana insiden pembakaran suar, mercun dan kelakuan agresif penyokong Perak ketika menentang Selangor dan Johor Darul Takzim (Johor DT) pada April.
Dalam aksi malam kelmarin, Perak mengakhiri badi kekalahan di tangan Kedah apabila melakar kemenangan 2-1.
Perak mendahului menerusi jaringan penyerang import, Milan Purovic pada minit ke-10 sebelum Kedah bangkit menyamakan kedudukan hasil jaringan Billy Osman Mehmet seminit sebelum aksi babak pertama berakhir.
Hafiz muncul wira The Bos Gaurus apabila meledak gol kemenangan menerusi rembatan kencang pada minit ke-51.
No comments:
Post a Comment