KETUA pasukan Real Madrid, Iker Casillas menjulang trofi selepas pasukannya memenangi Piala Super UEFA dengan mengalahkan Sevilla 2-0 di Stadium Cardiff City, Wales semalam. - REUTERS
CARDIFF - Cristiano Ronaldo menjaringkan dua gol untuk membantu Real Madrid menewaskan Sevilla 2-0 dan menjulang Piala Super UEFA dalam perlawanan yang membabitkan dua pasukan dari Sepanyol semalam.
Real sememangnya berhak dijulang sebagai pemenang di hadapan 33,500 penonton di Stadium Cardiff City selepas Sevilla dilihat gagal memberi saingan sengit kepada juara Liga Juara-juara itu sepanjang 90 minit.
Skuad kendalian Carlo Ancelotti itu menguasai permainan dari awal hingga penghujung perlawanan dengan Ronaldo menjelmakan sentuhan keramatnya untuk menewaskan penjaga gol Sevilla, Beto, rakan sepasukannya di Portugal pada minit ke-30 dan 49.
Bagaimanapun, peluang pertama terlebih dahulu dimiliki oleh juara Liga Europa, Sevilla pada minit ke-20 apabila Vitolo memaksa Iker Casillas menampan bola berhampiran tiang gol sebelum mereka sekali lagi mencipta peluang menerusi Grzegorz Krychowiak tetapi dinafikan sekali lagi melalui aksi menyelamat akrobatik oleh penjaga gol berpengalaman Sepanyol itu.
Real kemudian menguasai segenap bahagian dengan Ronaldo langsung tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda kecederaan di bahagian lutut yang dialaminya semasa Piala Dunia 2014.
Selepas menerima anugerah Pemain Terbaik Perlawanan daripada bekas pengurus Manchester United, Alex Ferguson, Ronaldo memberitahu wartawan: "Kami tahu perlawanan ini pasti sukar namun kami bermain dengan cukup baik, mencipta banyak peluang dan bermain dengan baik di segenap posisi," kata Ronaldo.
Ronaldo turut menghamburkan pujian kepada dua pemain baharu Real, Toni Kroos dan James Rodriguez, yang mempamerkan prestasi mengagumkan di Piala Dunia.
Bagi Sevilla, mereka telah memberikan segalanya dan memang terbukti Real Madrid lebih hebat dengan dibantu ramai pemain berkelas dunia seperti Karim Benzema, Luka Modric dan Gareth Bale.
"Kami telah cuba yang terbaik namun Real memang sebuah pasukan yang bagus dan lebih baik jika hendak dibandingkan dengan kami pada malam ini," kata jurulatih Sevilla, Unai Emery dalam sidang akhbar selepas perlawanan.
Sementara itu, Ancelotti berkata, Real tampak lebih kuat berbanding musim lalu dengan kehadiran dua muka baharu, Rodriguez dan Kroos ke dalam pasukannya.
"Kami bermain cukup cemerlang jika hendak diambil kira yang tidak mempunyai banyak masa untuk menghadapi perlawanan ini. Kami berjaya mengawal permainan selain Rodriguez dan Kroos beraksi cukup baik," kata Ancelotti.
Jaringan pertama Real terhasil menerusi gerakan yang bermula dari kawasan sendiri yang direncanakan Bale sebelum bola hantaran lintang bintang Wales itu mudah disempurnakan oleh Ronaldo pada minit ke-30.
Benzema dan Kroos terlibat dalam menghasilkan jaringan kedua dan rembatan deras oleh Ronaldo menggunakan kaki kiri dapat ditampan oleh Beto namun bola tetap menerjah ke dalam jaring. - REUTERS
Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20140814/sl_02/Real-juara-Piala-Super#ixzz3AJ3JoOTL
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment