Thursday, 14 August 2014

Permainan Perak Lebih Tersusun


Perak jelas lebih berhak untuk mengatasi Kedah 2-1 dalam aksi kumpulan B Piala Malaysia yang berlangsung di Stadium Perak malam ini.

Sejak wisel pertama dibunyikan, Perak mempamerkan penguasaan dan corak permainan yang lebih tersusun berbanding pasukan pelawat.

Seawal minit ke-10, Perak menunjukkan ketajaman di bahagian depan apabila penyerang import mereka Milan Purovic berjaya merembat masuk selepas menerima hantaran menarik daripada Abdulafees Abdulsalam.

Di minit ke 25 pula, Hafiz Ramdan mencemaskan pertahanan Kedah dengan melakukan rembatan selepas bola terlepas daripada kawalan pemain Kedah di bahagian tengah.

Kesilapan pertahanan Perak, Idris Ahmad pada minit ke-43 yang menyebabkan bola terlepas ke kaki Syamim nyata membawa padah. Syamim yang membawa masuk ke dalam kotak penalti berjaya membuat hantaran kepada Billy Mehmet sebelum pemain import itu menyempurnakan jaringan untuk meletakkan kedudukan 1-1.

Bagaimanapun, kesungguhan Perak untuk mencari kemenangan berharga dalam perlawanan ini membuahkan hasil apabila Hafiz Ramdan melakukan rembatan deras hasil hantaran baik daripada Milan Purovic. Tindakan Purovic yang membuat hantaran itu harus dipuji kerana dia bijak mengesan Hafiz yang tidak dikawal.

Di minit-minit akhir perlawanan, Kedah dilihat sedikit bangkit untuk mencari gol penyamaan, namun kekentalan pertahanan Perak memaksa perlawanan berkesudahan dengan kedudukan 2-1 berpihak kepada tuan rumah.

Dalam aksi di venue lain yang turut berlangsung pada malam ini menyaksikan Sarawak membenam Terengganu 3-2 manakala PDRM mencipta kemenangan bergaya 3-0 untuk mengatasi Sime Darby.   

No comments:

Post a Comment