Monday, 15 September 2014

Inter mengganas di San Siro (kosmo)


ICARDI (kiri) menyumbat hatrik bagi membantu Milan mengalahkan Sassuolo 7-0 pada aksi Serie A semalam.

MILAN - Pengendali Inter Milan, Walter Mazzari kagum terhadap corak permainan yang ditampilkan skuad bimbingannya sejurus membelasah Sassuolo 7-0 pada aksi Serie A di Stadium San Siro awal pagi semalam.
Mazzari menegaskan bahawa beliau sememangnya mahukan corak permainan seperti itu yang menyaksikan penyerang Inter, Mauro Icardi berjaya meledak hatrik pada aksi tersebut.
Dalam aksi itu, Inter berpesta empat gol pada babak pertama perlawanan menerusi dua jaringan Icardi seawal minit keempat dan 29, Mateo Kovacic (22) dan Fredy Guarin (43).
Bersambung di babak kedua, Inter terus mengganas dengan menyumbat tiga lagi gol menerusi Icardi (53), Pablo Osvaldo (72) dan jaringan kedua peribadi Guarin pada minit ke-75.
"Kami tamatkan kempen musim lalu dengan corak permainan sebegini tetapi berlakunya beberapa pertukaran pemain. Saya beritahu mereka perlu lebih pantas dan agresif.
"Bagi saya, beraksi dengan gaya dan tempo sebegini merupakan cara yang ideal. Saya harap kami dapat teruskan persembahan seperti ini.
"Kami mahu mengekalkan sikap, keinginan dan tahap agresif sebegini di atas padang. Kami perlu pantas menggerakkan bola dan tidak memberi ruang kepada pihak lawan untuk berfikir," katanya.
Sementara itu, bekas jurulatih Napoli itu turut memuji persembahan dipamerkan Kovacic dan gembira dengan perkembangan pemain kelahiran Croatia itu.
"Buat masa ini, dia memahami cara untuk bermain di Itali, dia bertahan dan menyerang apabila diperlukan sahaja.
"(Gary) Medel juga bermain cemerlang. Apabila kami menyerang dengan enam pemain, kami memerlukan pemain sepertinya untuk menjaga barisan pertahanan kami.
"Jika semua pemain teruskan aksi sebegini, kami boleh menggunakan corak permainan ini menentang kelab-kelab besar. Saya minta maaf menang 7-0 tetapi Sassuolo ialah pasukan yang baik," jelasnya. - Agensi

No comments:

Post a Comment