Monday, 15 September 2014

Kagawa bawa semangat baharu [kosmo]


KAGAWA diberi kepercayaan untuk mengemudi jentera tengah Dortmund pada aksi menentang Arsenal awal pagi esok.

DORTMUND - Kehadiran Shinji Kagawa memberikan semangat baharu kepada Borussia Dortmund menjelang aksi pembukaan Kumpulan D kempen Liga Juara-Juara menentang Arsenal awal pagi esok.
Situasi itu membuatkan naib juara Liga Jerman itu mampu menarik nafas lega ekoran kecederaan dialami perancang utama Dortmund, Marco Reus.
Kagawa kembali menyertai Dortmund awal musim ini selepas mengharungi kempen suram bersama Manchester United dalam saingan Liga Perdana England musim lalu.
Pemain berusia 25 tahun itu membalas kepercayaan Dortmund dengan menjaringkan gol selain mencipta gerakan kepada jaringan Adrian Ramos ketika kelab tersebut menang 3-1 ke atas Freiburg dalam aksi liga domestik baru-baru ini.
"Kami sedar Kagawa mampu menghasilkan sesuatu yang istimewa di sini.
"Dia masih mempunyai deria untuk menjaringkan gol," kata pengendali Dortmund, Jurgen Klopp.
Selain Kagawa, Dortmund turut mendapat semula khidmat kapten pasukan, Mats Hummels yang kembali menyertai sesi latihan, namun dilaporkan tidak akan beraksi menentang Arsenal.
"Kami mahu mendapat permulaan menarik. Kami mahu menang di laman sendiri (Stadium Signal Iduna Park)," jelasnya.
Sementara itu, The Gunners difahamkan tidak akan dapat menggunakan khidmat pemain pertahanan, Mathieu Debuchy kerana mengalami kecederaan ketika aksi Liga Perdana England menentang Manchester City, Sabtu lalu.
Bagaimanapun, perancang Arsenal, Jack Wilshere menjangkakan aksi menentang Dortmund itu akan menyajikan satu perlawanan menarik nanti.
"Arsenal bukan pasukan yang mudah untuk dijinakkan. Ia pasti satu perlawanan yang sukar dan ia juga adalah yang paling susah dalam saingan Kumpulan D," katanya. - AFP

No comments:

Post a Comment