KUALA LUMPUR - Jodoh Ole Gunnar Solskjaer bersama Cardiff City ternyata tidak lama apabila dia meletakkan jawatan selaku pengurus dan tempatnya bakal dikendalikan sementara waktu oleh Danny Gabbidon dan Scott Young.
Menurut Ole Gunnar, dia terpaksa meninggalkan kelab itu setelah mengadakan beberapa siri perbincangan dan merasakan itu keputusan terbaik perlu dilakukan demi kariernya serta masa depan kelab.
"Saya meninggalkan Cardiff dengan ramai pemain berbakat dan mahu berterima kasih kepada pemilik kelab, Vincent Tan yang memberikan saya peluang untuk berada di sini.
"Berat hati saya mahu meninggalkan kelab ini namun akibat terdapat perbezaan falsafah dalam cara menguruskan pasukan bola sepak maka saya terpaksa mengambil keputusan ini serta mengikut cara Vincent mahukan," katanya dalam kenyataan media Cardiff City yang diemel semalam.
Sementara itu, Tan Sri Vincent Tan berkata, dia terpaksa melepaskan Ole Gunnar selepas melihat permulaan yang buruk dan kurang yakin pengurus dari Norway itu mampu membawa Cardiff untuk naik semula ke Liga Perdana Inggeris(EPL).
"Saya membawa Ole Gunnar kerana yakin dengan kemampuannya untuk membawa Cardiff berjuang menyelamatkan diri daripada zon penyingkiran tetapi itu tidak berlaku.
"Ramai orang menasihatkan saya agar memecatnya selepas kami tersingkir ke Liga Kejuaraan namun saya mahu memberikan dia peluang namun jelas beberapa keputusan perlawanan awal liga tidak begitu memberangsangkan," katanya dalam kenyataan akhbar yang sama.
No comments:
Post a Comment