PENGURUS skuad kebangsaan Ireland, Martin O’ Neill menggelarkannya sebagai seorang pemain yang terlalu diberi perhatian berbanding bakat dimilikinya.
Namun pada 2014, pengurus Chelsea, Jose Mourinho menganggap dia adalah salah seorang daripada tiga pemain terbaik dunia, manakala pengurus kelab Paris Saint-Germain (PSG) diwakilinya ketika ini, Laurent Blanc memujinya sebagai salah seorang ketua yang cukup berwibawa.
Diselubungi pelbagai kontroversi, pergaduhan dengan rakan sepasukan dan pengurus serta beberapa kenyataan kurang disenangi ramai pihak menjadikan ketua pasukan Sweden dan PSG, Zlatan Ibrahimovic muncul antara pemain bola sepak yang sering menjadi tumpuan dunia, sesuai dengan kemampuannya ketika di padang.
Lahir di sebuah kawasan pinggir bandar dikenali sebagai Rosengard di daerah Malmo di Sweden, Ibrahimovic merupakan anak kepada pasangan Sefik Ibrahimovic yang merupakan seorang Muslim dari Bosnia, manakala ibunya, Jurka Gravic pula penganut Kristian Katolik dari Croatia yang mana kedua-duanya telah berhijrah ke Sweden.
Memulakan karier bola sepak sejak berusia 15 tahun, Malmo FF adalah kelab pertama disertai Ibrahimovic. Selepas itu dia tidak lagi menoleh ke belakang, sebaliknya mengorak langkah sebagai antara pemain yang menjadi sebutan seantero dunia.
Memiliki ketinggian 1.92 meter dan mempunyai sosok agak tegap, Ibrahimovic bukanlah nama biasa dalam arena bola sepak dunia apabila telah memenangi 12 gelaran liga domestik bersama enam kelab gergasi dari empat buah negara Eropah sebelum menjadi pembantu ketua pasukan PSG pada usia 33 tahun.
Selepas lebih 15 tahun berada dalam dunia bola sepak, media tidak menunjukkan tanda-tanda untuk mengurangkan perhatian kepada pemain yang terkenal dengan gaya dan sikap sombong.
Bagaimanapun, tidak ramai mengetahui sejarah hidup bintang bola sepak dunia ini yang pernah mengharungi liku hidup mencabar sebelum bergelar ikon kepada negara yang memiliki hampir 10 juta penduduk itu.
Lahir di Rosengard seakan menjadi satu ‘dosa besar’ buat Ibrahimovic kerana lokasi tersebut sering dianggap sebagai kawasan masyarakat kelas bawahan yang terdiri daripada golongan pendatang di Sweden.
Selain itu, ia turut dikategorikan sebagai kawasan hitam kerana memiliki rekod kadar jenayah yang tinggi dan cukup berbahaya di gugusan negara-negara Scandinavia.
Membesar di kawasan seperti itu sedikit sebanyak mempengaruhi sikap serta tindakan Ibrahimovic sama ada di atas atau di luar padang dan menjadikannya sebagai seorang pemain yang cukup cekal dalam usaha meletakkan namanya duduk sebaris dengan pemain-pemain tersohor di dunia.
Biarpun dia sudah menjelajah ke beberapa negara Eropah untuk menyertai kelab-kelab besar, namun Rosengard masih terus sebati dalam jiwanya, malah ungkapan keramat yang lahir dari mulutnya: “Anda boleh membawa seseorang individu itu keluar dari Rosengard tetapi anda tidak boleh membawa jiwa Rosengard keluar daripada individu itu.” Kata-kata tersebut turut dipahat di sebuah laluan pejalan kaki di bandar kelahirannya itu.
Salah seorang bekas wartawan sebuah akhbar di Sweden, Rune Smith berkata, kali pertama dia menemu bual Ibrahimovic ialah semasa pemain tersebut berusia 19 tahun yang ketika itu mewakili Malmo FF.
Kelab tersebut mengalami saat kejatuhan apabila diturunkan ke Liga Divisyen Dua selepas melalui sejarah prestasi paling buruk sepanjang 64 tahun.
Malmo FF ketika itu memerlukan seorang wira yang mampu mengangkat semula prestasi pasukan dan Ibrahimovic sedar bahawa ia adalah masa yang paling sesuai untuk dia membuktikan kemampuan sebenar.
“Ketika itu Februari tahun 2000, musim liga belum bermula. Saya menemu ramah Ibrahimovic dan dia berkata, Malmo FF akan menjuarai divisyen ini dan kembali ke liga utama dan dia akan menyertai Inter Milan di Itali dalam tempoh tiga tahun dari waktu itu. Namun, Malmo gagal menyertai liga utama kerana hanya mendapat tempat kedua,” katanya.
Selepas dua musim di Malmo, dia berhijrah ke Belanda dan menghabiskan masa empat tahun bersama Ajax Amsterdam di bawah kendalian Ronald Koeman sebelum ke Itali menyertai Juventus dengan nilai perpindahan €16 juta (RM66 juta) dan nasibnya baik kerana muncul ketika bintang Juventus ketika itu, David Trazeguet mengalami kecederaan sebelum meledak 16 gol pada musim pertamanya.
Bagaimanapun, musim kedua di Turin tidak memihak kepadanya apabila gagal menyerlah dan hanya diberi peranan sebagai penyerang kedua tetapi jumlah umpanan yang dilakukannya untuk menghasilkan gol meningkat sebelum dia memilih untuk ke San Siro menyertai Inter selepas Juventus dilanda kontroversi rasuah sehingga diturunkan ke Serie B.
Melengkapkan perpindahan dengan nilai €24.8 juta (RM103 juta), Ibrahimovic akhirnya berjaya merealisasikan impian beraksi bersama Inter pada musim 2006 dengan kontrak empat tahun dan muncul penjaring terbanyak bagi kelab tersebut dengan rekod 16 gol.
Pada musim 2008-2009 iaitu tempoh terakhirnya bersama kelab tersebut, Ibrahimovic meledak 25 gol untuk kempen Serie A dan dicalonkan sebagai Pemain Terbaik dan Pemain Asing Terbaik Tahunan.
Prestasi cemerlang yang dipamerkan itu menyebabkan kelibatnya diintai kelab gergasi Sepanyol, Barcelona yang kemudian berjaya mengikat bintang Sweden itu dengan nilai €46 juta (RM192 juta) melibatkan perjanjian pertukaran Samuel Eto’o dan pinjaman untuk Alexander Hleb ke San Siro.
Musim pertama di Camp Nou, Ibrahimovic meledak 16 gol untuk membantu Barcelona mengungguli Liga Sepanyol, namun jodohnya bersama The Catalans tidak panjang apabila dilaporkan berselisih faham dengan pengendali, Pep Guardiola dan menyebabkan dia hanya menghabiskan satu musim sebelum dipinjamkan kepada AC Milan dengan pilihan untuk terus kekal melibatkan nilai €24 juta (RM100 juta).
Hadir dengan status pemain pinjaman, Ibrahimovic tidak menunggu lama untuk meniti populariti dalam kalangan peminat Milan apabila membantu kelab itu menjuarai Serie A musim 2010-2011 dengan rekod 13 gol dan lapan umpanan gol menerusi 21 aksi untuk membuatkan Milan bersetuju mendapatkan khidmatnya secara tetap daripada Barcelona.
Selepas menghabiskan musim kedua di Milan, Ibrahimovic kemudian membuat keputusan berhijrah ke Perancis untuk menyertai PSG dengan nilai perpindahan €20 juta (RM83.5 juta) dan ia menjadikannya pemain yang mencatat yuran perpindahan tertinggi secara keseluruhan iaitu €180 juta (RM752 juta).
Perpindahan ke kelab gergasi Perancis itu menerusi kontrak tiga tahun juga menyaksikan dia menjadi pemain kedua menerima bayaran termahal iaitu €16 juta (RM66.8 juta) setahun selepas Eto’o.
Musim pertama bersama PSG, Ibrahimovic meledak 30 gol untuk dinobatkan sebagai penjaring terbanyak Liga Perancis dan menyamai rekod dilakukan bintang veteran Perancis, Jean-Pierre Papin pada musim 1989-1990, seterusnya menghadiahkan gelaran juara liga untuk kelab itu.
Tiga musim di Paris, Ibrahimovic berjaya membantu PSG merangkul gelaran juara liga sebanyak tiga kali berturut-turut termasuk meraih gelaran trebel musim lalu.
Warna-warni liku kerjaya Ibrahimovic menjadikannya ikon untuk seluruh rakyat Sweden dan tiada seorang pun mampu menafikan Ibrahimovic juga layak disenaraikan sebagai antara 10 penyerang terbaik ketika ini.
No comments:
Post a Comment