MESSI mencetak hatrik pada aksi menentang Rayo bagi saingan La Liga awal pagi semalam.
MADRID – Ketua jurulatih Barcelona, Luis Enrique menyifatkan sikap para pemainnya yang tidak mengenal erti putus asa menjadi punca mereka sukar dikalahkan.
Ia dibuktikan menerusi kejayaan awal pagi semalam yang menyaksikan Barcelona tidak menghadapi masalah untuk membelasah Rayo Vallecano 5-1 pada aksi La Liga.
Kemenangan tersebut sekali gus menyaksikan skuad The Calatalans itu mencipta rekod baharu selaku pasukan yang tidak tewas selepas mengharungi 35 perlawanan liga.
Rekod tersebut turut mengatasi pencapaian yang pernah dilakar Real Madrid pada musim saingan kempen La Liga 1988-1989 yang mencatat 34 aksi tanpa kalah.
“Kami sedang mengharungi musim ini dengan bergaya. Kami perlu tunggu dan lihat perkara yang boleh dicapai pada hujung musim ini. Buat masa ini, kami layak digelar juara liga.
“Mengikut statistik, kami kurang baik dari segi sepakan penalti, tetapi akhirnya kami masih boleh menjaringkan gol. Saya harap kami mampu memperbaiki semua kelemahan itu.
“Bagaimanapun, kelemahan itu tidak pernah menjadi perkara yang membimbangkan saya dan pasukan ini,” ujar Enrique.
Pada aksi menewaskan Rayo, Ivan Rakitic terlebih dahulu memecah kebuntuan pada minit ke-22 sebelum pemain terbaik dunia, Lionel Messi meledak gol kedua Barca berselang seminit.
Babak kedua perlawanan pula, Messi sekali lagi menyumbat gol pada minit ke-53, namun skuad tuan rumah berjaya merapatkan jurang menerusi tandukan disempurnakan Manucho (m-57).
Memasuki minit ke-69, Barcelona berpeluang menambah jaringan selepas dihadiahkan sepakan penalti, namun gagal menyempurnakan peluang tersebut.
Kekecewaan Barcelona untuk berpesta gol berjaya diubati menerusi jaringan hatrik Messi berselang empat minit kemudian.
Pemain baharu Barcelona, Arda Turan turut mencipta nama selaku penjaring gol pada minit ke-86. – Agensi
No comments:
Post a Comment