PENYERANG skuad Harimau Malaysia, Mohd. Syazwan Zainon (kiri) berjaya melepasi kawalan pemain Afghanistan, Modjieb Jamali pada perlawanan persahabatan di Stadium Shah Alam malam tadi yang berkesudahan seri 1-1.
MUTU bola sepak Malaysia masih belum menjanjikan masa depan yang cerah.
Selepas mengharungi dua perlawanan persahabatan dalam tempoh seminggu, tidak banyak perubahan yang boleh dibanggakan kecuali masih dalam situasi terkapai-kapai untuk mencari rentak.
Pada Jumaat lalu, skuad Harimau Malaysia sekadar mencatat keputusan seri tanpa jaringan dengan Singapura pada aksi persahabatan di Stadium Nasional, Singapura.
Malam tadi, skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu hampir dimalukan oleh negara yang sering dilanda peperangan, Afghanistan (ranking 149)pada aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Shah Alam.
Pemain Afghanistan sebenarnya tidak menikmati aktiviti sukan dengan tenang di negara mereka seperti mana yang dilalui barisan pemain Malaysia (158), namun pasukan dari Asia Tengah itu masih mampu memperagakan gaya permainan bola sepak yang mempesonakan.
Walaupun dalam keadaan serba kekurangan, namun para pemain Afghanistan lebih berani berkelana ke Eropah seperti Jerman, Sweden mahupun Itali demi mengembangkan bakat bola sepak mereka.
Maka tidak hairan, kawalan bola serta kebijaksanaan melancarkan gerak, sering kali memerangkap pemain Harimau Malaysia pada aksi di Shah Alam malam tadi ketika para pemain pasukan tuan rumah dilihat agak hilang momentum untuk memberi saingan.
Akibatnya, pasukan pelawat itu berjaya mendahului 1-0 pada minit ke-22 menerusi percubaan Noarollah Amiri dari luar kotak penalti.
Namun, kedudukan tersebut berjaya dipadamkan oleh pemain gantian Hadin Azman yang menjaringkan gol penyamaan pada masa kecederaan separuh masa pertama.
Walaupun skuad negara tampil lebih teratur pada separuh masa kedua, namun mereka tetap gagal meloloskan diri untuk menambah jaringan ketika barisan pemain Afghanistan mula kelihatan letih. Kedudukan 1-1 kekal sehingga tamat perlawanan.
No comments:
Post a Comment