AMSTERDAM: Jesse Lingard menjaringkan gol England pertamanya ketika skuad berwajah baharu itu menewaskan Belanda 1-0 dalam aksi persahabatan awal pagi tadi.
Ia adalah perlawanan di tempat lawan terakhir England sebelum mereka berkampung di Russia untuk kempen Piala Dunia tahun ini manakala Belanda antara pasukan utama yang terlepas menyertai kejohanan kali ini.
Ia juga adalah kemenangan pertama England ke atas Belanda selepas kali terakhir menang 4-1 di Wembley ketika Euro 96, di mana pengendali England sekarang, Gareth Southgate turut beraksi.
Bagi legenda Belanda Ronald Koeman, ia permulaan mengecewakan pada perlawanan pertamanya sebagai pengendali Oranje.
Lingard meraikan gol jaringannya bersama2 rakan
Aksi persahabatan menentang Itali di laman sendiri minggu depan adalah medan terakhir buat Southgate memilih skuad Piala Dunia ke Russia.
Pada perlawanan awal pagi tadi, pemain tengah Manchester United Lingard meledak gol tunggal pada minit ke-59, sejurus selepas England dinafikan sepakan penalti walaupun jelas Marcus Rashford dijatuhkan dalam kotak oleh Matthijs de Ligt dan penjaga gol Jeroen Zoet.
Dalam perkembangan lain, 90 penyokong England ditahan oleh polis Amsterdam kerana mengganggu ketenteraman awam menjelang perlawanan berkenaan.
“Jumlah tangkapan ke atas penyokong England kini mencecah 90 orang,” kata polis Amsterdam.
Dalam salah satu rakaman video, anggota polis berkuda dilihat cuba meleraikan kumpulan penyokong England di kawasan tumpuan pelancongan, manakala satu video lagi menunjukkan sekumpulan penyokong mencampak basikal dari jambatan ke arah bot yang sedang melalui terusan.
No comments:
Post a Comment