KUANTAN: Pahang mengesahkan kehilangan khidmat penyerang berbisa, Francis Forkey Doe bagi baki saingan Liga Malaysia musim ini.
Jurulatih Dollah Salleh yang terkilan kerana kecederaan kaki kanan pemain dari Liberia itu serius mengesahkan dia memerlukan tempoh panjang untuk pulih.
"Saya tak sangka kecederaan dialami Doe begitu serius ketika skuad ini berada pada prestasi terbaik.
"Dia sudah membuktikan kepada pasukan dan penyokong bahawa sentuhannya masih lagi berbisa dan membantu pasukan mencatat kemenangan.
"Ketiadaannya begitu dirasai dalam pasukan terutama di bahagian serangan yang dilihat cukup bagus apabila bergandingan dengan Patrick Cruz," kata Dollah.
Justeru beliau akan melakukan percaturan terbaik untuk memastikan skuad Tok Gajah masih mantap walaupun tanpa Doe.
Katanya, ketiadaan Doe tidak melunturkan semangat pemain kerana perjalanan pasukan masih lagi panjang.
"Perkara utama perlu dilakukan adalah membentuk kembali pasukan ini supaya lebih bagus terutama memastikan ketajaman di bahagian serangan," katanya.
Pada aksi pusingan ketiga Piala FA bertemu Kedah, pemain berusia 33 tahun itu terpaksa diusung keluar seawal minit ke-10 selepas mengalami kecederaan kaki.
Dalam saingan Liga Super, Doe membuktikan dia masih penyerang berbisa apabila menjaringkan tiga gol selepas lima perlawanan.
No comments:
Post a Comment