Pada perlawanan awal pagi semalam, kedua-dua pasukan seri 2-2 secara agregat selepas terikat 1-1 sehingga masa tambahan, sekali gus memaksa pemenang ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti sebelum The Blues memastikan kemenangan 4-3.
Pengurus Chelsea, Maurizio Sarri menegaskan, meskipun gembira dengan kemenangan tersebut, namun beliau tetap kecewa dengan aksi lemau yang ditampilkan barisan pemainnya, terutamanya pada separuh masa kedua sehingga membolehkan Frankfurt meledak gol penyamaan.
“Kami bermain sangat baik pada separuh masa pertama, namun saya tidak tahu apa yang berlaku pada separuh masa kedua kerana kami diasak teruk oleh pasukan lawan. Benteng pertahanan juga sedikit leka sehingga pasukan lawan menyamakan kedudukan.
“Semua pemain sudah berada dalam keadaan letih pada masa tambahan. Bukannya mudah untuk beraksi dalam satu perlawanan yang memakan masa 120 minit selepas mengharungi musim panjang, ia sangat sukar,” kata Sarri.
Pengendali dari Itali itu turut mendedahkan pasukannya langsung tidak melakukan latihan sepakan penalti memandangkan beliau berpendapat tekanan ketika latihan tidak sama dengan perlawanan sebenar.
“Kami langsung tidak jalani latihan sepakan penalti. Bagaimanapun, tekanan pada perlawanan sebenar sangat berbeza dengan situasi latihan,” ujarnya. – Agensi