Pada perlawanan tersebut, Torres mengakui gagal mengawal emosinya terutama apabila bersaing dengan bekas rakan sepasukannya di Sepanyol yang kini mewakili skuad Vissel Kobe, Andres Iniesta dan David Villa.
Torres turut memberi penghargaan serta ucapan terima kasih kepada pihak pengurusan kelab Sagan Tosu yang memberi kepercayaan kepadanya untuk meneruskan karier ke Jepun buat pertama kali selepas berhijrah dari Atletico Madrid tahun lalu.


“Saya terharu dengan komitmen yang diberikan oleh pihak pengurusan kelab ini dan sokongan yang diberikan oleh penyokong kami pada setiap perlawanan cukup luar biasa.
“Ini adalah salah satu pengalaman terbaik sepanjang karier saya dan rakan-rakan sepasukan turut banyak membantu terutama ketika pasukan ini sedang berdepan dengan zon penyingkiran tahun lalu,” katanya.
Torres yang kini berusia 35 tahun dianggap sebagai salah seorang penyerang paling berbisa pada pertengahan era 2000-an ketika mewakili beberapa kelab utama seperti Atletico di La Liga, Liverpool dan Chelsea (Liga Perdana England) serta AC Milan di Serie A.
Penyerang yang digelar El Nino itu turut berjaya di pentas antarabangsa apabila membantu Sepanyol menjuarai Piala Eropah sebanyak dua kali, selain satu trofi Piala Dunia pada edisi 2010. – Agensi