Kenny McLean memberi permulaan sempurna buat tuan rumah apabila menanduk gol pembukaan Norwich pada minit ke-18 hasil sepakan penjuru.
Stadium Carrow Road gamat lagi 10 minit kemudian apabila pemain berusia 21 tahun, Todd Cantwell meledak gol kedua skuad Canaries selepas merembat bola hantaran silang Pukki.

Biarpun menguasai permainan dan lebih banyak melancarkan percubaan ke gawang lawan namun tiada penyudah menyebabkan City buntu mencari gol.
Begitupun ketika babak pertama hampir tamat, Sergio Aguero akhirnya merapatkan jurang 1-2 dengan menanduk hantaran Bernardo Silva untuk gol keenamnya musim memasuki.
Memasuki separuh masa kedua, kesilapan pertahanan yang dilakukan Nicolas Otamendi membuka ruang buat Pukki meledak gol ketiga Norwich pada minit ke-50.
Ketinggalan 1-3 memaksa anak-anak buah Pep Guardiola menggandakan asakan tetapi kecekapan penjaga gol berpengalaman Belanda,
Tim Krul menyelamatkan gawangnya daripada dibolosi.
Ketika permainan berbaki dua minit untuk ditamatkan, pemain tengah Sepanyol, Rodrigo mencemaskan tuan rumah apabila merembat gol dari jarak 20 ela untuk merapatkan jurang 2-3.
City melancarkan serangan bertali arus hingga memaksa pemain Norwich berkampung di tempat sendiri pada 10 minit terakhir.
Bagaimanapun usaha mereka untuk sekurang-kurangnya pulang bersama satu mata berkecai apabila kedudukan 2-3 kekal sehingga wisel penamat ditiupkan.
Ini adalah kemenangan terbesar buat pendatang baharu liga, Norwich, sekali gus melonjakkan mereka ke tangga ke-12 dengan mengutip enam mata hasil lima perlawanan.
City pula mengalami kekalahan pertama musim ini dan ketinggalan lima mata di belakang pendahulu, Liverpool yang sebelum itu menewaskan Newcastle 3-1.
Ini kali pertama City kalah kepada pendatang baharu liga sejak dikejutkan oleh Burnley pada Mac 2015. - AGENSI