LONDON – Pengurus Arsenal, Arsene Wenger mengakui bahawa dia bimbang Manchester United akan menggunakan kekuatan kewangan untuk ‘merampas’ beberapa pemain yang kini dalam pemerhatian pasukan itu.
United yang baharu mengumumkan kejayaan membawa pemain sayap PSV, Memphis Depay dengan nilai perpindahan €27.5 juta (RM111 juta) untuk beraksi musim depan telah membelanjakan hampir €200 juta (RM808 juta) musim lalu untuk membawa masuk Angel Di Maria, Ander Herrera, Marcos Rojo dan Daley Blind.
“Saya jangkakan United akan menjadi antara kelab yang paling aktif pada jendela perpindahan pemain Jun ini. Setiap pemain yang saya cuba buat tawaran jugaberada dalam radar United,” katanya.
Arsenal akan bertandang ke Old Trafford untuk menentang United malam ini dengan The Gunners berada di tempat ketiga dengan kelebihan dua mata.
Pengurus United, Louis van Gaal memulakan musim dengan penuh tekanan, namun United kini sudah mampu menarik nafas lega apabila slot ke Liga Juara-Juara musim depan hampir pasti menjadi milik mereka. Wenger percaya kejayaan itu pastinya akan menarik minat beberapa pemain bintang menyertai mereka.
“Dia (van Gaal) mula mempamerkan personalitinya dan karakternya membimbing sebuah kelab yang besar. Kami sedar mereka bakal mendapatkan beberapa pemain yang memiliki kemampuan tinggi musim depan,” ujarnya.
Sekiranya Arsenal berjaya menewaskan United malam ini, mereka dikira hampir selamat untuk menamatkan musim ini dalam kelompok tiga pasukan teratas selain berjaya mengelakkan diri daripada beraksi pada pusingan playoff Liga Juara-Juara musim depan.
“Kami memerlukan keyakinan untuk menang di Old Trafford dan kemenangan akan membantu kami untuk tampil lebih baik pada musim depan. Kami juga mahu bangkit daripada kekalahan kepada Swansea tempoh hari,” jelas Wenger. - Agensi
No comments:
Post a Comment