ENGLAND – Bekas kapten Liverpool, Jamie Carragher menggesa Gareth Bale untuk meninggalkan Real Madrid secepat mungkin menjelang musim panas ini untuk kembali ke Liga Perdana England selepas sering dikecam oleh peminat pasukan itu kerana gagal mengekalkan rentak cemerlang.
Bale yang pernah memecah rekod sebagai pemain termahal dunia dua tahun lalu dilihat gagal membantu Real untuk merangkul sebarang piala musim ini selepas tersingkir daripada dua kejohanan utama iaitu Liga Juara-Juara dan Piala Raja Sepanyol. Dia turut berdepan tugas sukar untuk membantu Real merampas kedudukan pendahulu Liga Sepanyol daripada Barcelona.
Carragher menegaskan, sejak akhir-akhir ini, Bale kerap menerima tekanan daripada peminat setelah gagal memberi impak manakala kekalahan kepada Juventus pada perlawanan di separuh akhir Liga Juara-Juara merupakan kemuncak kemarahan para penyokong.
“Saya lihat pada perlawanan separuh akhir itu, Juventus telah melenyapkan harapan Real dalam mempertahankan gelaran Liga Juara-Juara.
“Pada ketika itu saya terkejut melihat seorang pemain yang sangat pemalu dan kurang keyakinan diri di atas padang. Jelas, itu bukan Bale yang pernah saya lihat sebelum ini, Gareth Bale ialah seorang pemain yang pantas dan tangkas.
“Ramai yang mula pertikai kebolehan Bale walaupun hakikatnya dia seorang pemain yang baik. Ini memang bukan jalan keluar yang mudah baginya.
“Muncul bersama Real dengan mencetak 22 gol dan 17 hantaran ia sangat mengagumkan. Namun, semakin kerap Bale melakukan sesuatu yang tidak digemari oleh Cristiano Ronaldo ketika di padang, semakin ramai yang akan membencinya.
“Sekiranya dia mendapat peluang untuk kembali ke Liga Perdana England, dia mesti merebut segala peluang yang dimiliki. Jika dia ditakdirkan untuk kembali ke England kita akan melihat Bale yang sebenar beraksi,” tegas Carragher. – Agensi
No comments:
Post a Comment