LONDON – Jose Mourinho diumumkan sebagai Pengurus Terbaik Liga Perdana Inggeris (EPL) buat kali ketiga semalam.
Jurulatih kelahiran Portugal itu berjaya membawa Chelsea merangkul dua kejuaraan musim ini iaitu Liga Perdana dan Piala Liga dalam tugasan keduanya di Stamford Bridge.
Bintang tengah Chelsea, Eden Hazard, yang meledak 20 gol musim ini menghadiahkan kegembiraan berganda buat Blues apabila dinobat sebagai Pemain Terbaik EPL, gelaran yang dimenangi oleh penyerang Liverpool, Luis Suarez, musim lalu.
Ini adalah anugerah ketiga diraih pemain antarabangsa Belgium itu musim ini selepas turut dinobat sebagai Pemain Terbaik Persatuan Pemain Profesional dan Pemain Terbaik Persatuan Penulis-penulis Bola Sepak.
Mourinho, 52, yang pernah membawa Chelsea menjulang gelaran Liga Perdana pada musim 2004-05 dan 2005-06 mengetepikan saingan jurulatih Southampton, Ronald Koeman, Garry Monk (Swansea City), Nigel Pearson (Leicester City) dan pengurus Arsenal, Arsene Wenger.
Dia berjaya memenangi anugerah yang sebelum ini dimiliki oleh Tony Pulis, pengurus Crystal Palace yang berjaya membantu pasukan itu mempamer kebangkitan hebat dengan terlepas daripada penyingkiran pada musim 2013-14.
Sementara itu, Hazard pula mengetepikan saingan tiga rakan sepasukannya John Terry, Cesc Fabregas dan Nemanja Matic, selain Sergio Aguero (Manchester City), David de Gea (Manchester United), Harry Kane (Tottenham) dan Alexis Sanchez (Arsenal) yang turut dicalonkan.
Apa yang peliknya, Mourinho tidak pernah sekali pun memenangi anugerah Pengurus Terbaik bulanan sepanjang kempen 2014-2015 meskipun pasukannya sentiasa mendominasi saingan Liga Perdana. Blues mendahului carta liga selama 274 hari. – AGENSI
No comments:
Post a Comment