Sunday, 24 May 2015

Sang Singa calar ego The Red Warrior


WAN ZACK HAIKAL (dua dari kanan) menjaringkan gol tunggal Kelantan pada final Piala FA menentang Lions XII di Bukit Jalil, Kuala Lumpur malam tadi.

DUA kesilapan Nik Shahrul Azmi Abdul Halim menyaksikan Kelantan kempunan untuk merangkul Piala FA buat kali ketiga selepas tewas 1-3 kepada Lions XII pada aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur malam tadi.
Bagi Lions XII pula, mereka melakarkan sejarah tersendiri selain berjaya meleburkan rekod cemerlang The Red Warriors yang menang enam perlawanan sepanjang tujuh pertemuan sejak 2012.
Beraksi di separuh masa pertama, Lions XII tidak mengambil masa lama untuk membuka jaringan seawal minit keenam menerusi gol Faris Ramli yang mudah menolak masuk bola ke gawang Kelantan.
Kejayaan itu hadir apabila pemain tengah Lions XII, Izzdin Shafiq yang bijak memberikan hantaran dan berjaya mengelirukan tonggak pertahanan The Red Warriors, Nik Shahrul Azim Abdul Halim, sekali gus memudahkan Faris memperdayakan penjaga gol lawan, Kharul Fahmi Che Mat.
Tersentak jaringan tersebut, pasukan bimbingan Mohd. Azraai Khor Abdullah kembali mengatur gerak dengan melancarkan serangan bertali arus di benteng pertahanan Lions XII.
Bermula dengan Wan Zack Haikal yang hampir berjaya menyamakan kedudukan tetapi pemain sayap lincah Kelantan itu gagal memanfaatkan percubaan tepat tersebut apabila penjaga gol Lions XII, Izwan Mahbud berjaya menyelamatkan bola tersebut pada minit-12.
Berselang seminit kemudian, Gilmar Da Silva juga memiliki peluang ke­emasan untuk menjaringkan gol pertama Kelantan tetapi pemain import The Red Warriors itu gagal memanfaatkan sepakan penjuru dari kapten, Mohd. Badhri Mohd. Radzi.
Juara dua kali Piala FA itu terus memberikan tekanan kepada Lions XII tetapi kecekapan Izwan menjadi penyelamat buat pasukan tuan rumah apabila menggagalkan percubaan tepat Erwin Carillo pada minit ke-24 namun kedudukan itu tidak berubah sehingga tamat babak pertama perlawanan.
Bersambung di separuh masa ke­dua, The Red Warriors ‘berkampung’ di dalam kawasan kotak penalti Lions XII dengan mengasak benteng pertahanan skuad kendalian Fandi Ahmad.
Usaha gigih Kelantan akhirnya membuahkan hasil apabila pemain sayap lincah, Wan Zack berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-62.
Gol Wan Zack itu berjaya sejurus pemain import The Red Warriors, Da Silva berjaya melorongkan bola kepada pemain kelahiran Pahang tersebut dan bekas pemain FC Ryukyu tersebut mudah menolak bola menewaskan Izwan.
Bagaimanapun, wakil Singapura itu berjaya kembali di depan apabila kesilapan pemain pertahanan Kelantan, Nik Shahrul yang gagal memberikan hantaran dengan baik dirampas kemas oleh pemain pasukan lawan sebelum Sahil Suhaimi meledak gol kedua pasukan pelawat pada minit ke-81.
Kebangkitan Kelantan berakhir sebaik Lions XII mengesahkan menjadi juara baharu Piala FA dengan menyaksikan Sahil menjaringkan gol ketiga menerusi sepakan penalti apabila Amirizwan Taj menjatuhkan Sahil pada masa kecederaan.
Dalam pada itu, Azraai yang tidak dapat menyembunyikan kekecewaan berkata: “Kami sendiri melakukan kesilapan dan terpaksa membayar pada harga yang mahal. Kekalahan ini memberikan pengajaran berguna. Bukan mudah menentang skuad muda seperti Lions XII, tetapi inilah hakikat bola sepak dan kami terima hakikat ini.”
“Kami tidak memiliki pemain-pemain bintang, tetapi menjadi kepuasan apabila mendapat kemenangan kerana pada awalnya menyangka Kelantan mampu menang 2-0. Sebaliknya, kami berjaya membawa pulang Piala FA melepasi Tambak Johor,” ujar Fandi.

No comments:

Post a Comment