BARCELONA – Ketua jurulatih Barcelona, Ernesto Valverde menaruh harapan yang tinggi terhadap pemain tengah baharu, Philippe Coutinho selepas pemain tonggak kelahiran Brazil itu beraksi cemerlang pada debut di saingan suku akhir kedua Piala Raja Sepanyol menentang Espanyol awal pagi semalam.
Pada aksi yang berlangsung di Camp Nou itu, bekas pemain Liverpool tersebut masuk sebagai pemain gantian pada minit ke-68 dan hampir berjaya membantu rakan pasukan, Luis Suarez meledakkan gol ketiga buat Barcelona pada aksi yang berkesudahan dengan keputusan 2-0.
Barcelona mengesahkan tempat ke aksi separuh akhir menerusi kemenangan secara agregat 2-1.
“Pemain yang hebat sentiasa cepat menyesuaikan diri dalam apa jua keadaan. Countinho telah menunjukkan keserasian dengan corak permainan kami pada hari ini (semalam).
“Kami menaruh harapan yang sangat tinggi kepadanya untuk membantu jentera serangan Barcelona menjadi lebih tajam. Gaya dan corak permainannya sangat sesuai di sini, malah dia juga sangat cekap dalam melepaskan diri apabila berhadapan situasi satu lawan satu.
“Perlawanan ini adalah permulaan baginya. Bukan mudah untuk pemain baharu turun beraksi pada perlawanan yang sukar seperti ini tetapi Coutinho berjaya melakukannya dengan cemerlang,” ujar Valverde.
Pada aksi tersebut, gol pembukaan terhasil menerusi percubaan Suarez seawal minit kesembilan manakala gol kedua dijaringkan gol pemain terbaik dunia, Lionel Messi pada minit ke-25.
Mengulas mengenai aksi anak buahnya, pengendali berusia 53 tahun itu mengakui dia sangat berpuas hati dengan prestasi para pemain sambil menjelaskan tuah lebih memihak kepada pasukannya.
“Kami bernasib baik kerana Espanyol tidak menjaringkan satu gol yang boleh membuatkan kami tersingkir pada saingan ini,” katanya. – Agensi
No comments:
Post a Comment