Adnan (tengah) bersama dua pemain baharu Kuala Lumpur, Achmad Jufriyanto (kiri) dan Muhammad Syazwan Andik pada majlis menandatangani kontrak pemain baharu, semalam.
PERSATUAN Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) meluahkan kebimbangan seandainya banyak pasukan berminat menggunakan Stadium Cheras sebagai gelanggang rasmi saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2018.
Presidennya, Datuk Seri Adnan Md Ikhsan berkata, pelbagai masalah boleh timbul sekiranya stadium itu diguna pakai banyak pasukan dalam saingan Liga Malaysia 2018.
“Sebenarnya dah ada beberapa pasukan buat permohonan untuk menggunakan Stadium Cheras. Sebelum ini dua pasukan Liga Perdana iaitu PDRM dan UKM menyatakan minat mereka beraksi di situ.
“Tapi perlu ingat padang hanya satu. Kalau satu pasukan Liga Super dan satu pasukan Liga Perdana guna mungkin boleh bergilir-gilir, tapi kalau ada dua pasukan Liga Super yang jadikan stadium itu sebagai gelanggang rasmi mungkin boleh timbul masalah nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis menandatangani pemain baharu di Menara Kementerian Wilayah Persekutuan, semalam.
Jawapan itu seolah-olah memberi bayangan bahawa KLFA tidak begitu selesa dengan pendirian pasukan Selangor yang berminat menjadikan Stadium Cheras sebagai gelanggang rasmi mereka selepas gagal mendapatkan Stadium Shah Alam dan Stadium Nasional Bukit Jalil sebelum ini.
Bagaimanapun, Adnan menjelaskan beliau dan persatuan tidak mempunyai sebarang masalah dengan pasukan Selangor memandangkan kedua-dua pasukan boleh dianggap seperti adik-beradik.
“Bukan kita ada masalah dengan mereka atau apa, cumanya kita bimbang jika terlalu banyak pasukan menggunakan padang itu dalam banyak perlawanan berasingan, ia akan menjejaskan kualiti padang itu sendiri.
“Lagi pun, mungkin akan timbul isu lain membabitkan jadual perlawanan pula. Semua sedia maklum jadual perlawanan liga kita sentiasa padat,” katanya lagi.
Difahamkan setakat ini hanya pasukan Liga Perdana, iaitu PDRM FA sahaja yang mendapat kelulusan untuk menjadikan Stadium KLFA Cheras sebagai gelanggang rasmi.
Status permohonan Selangor berkaitan gelanggang rasmi pasukan sehingga kini masih belum diputuskan oleh pentadbir Liga Malaysia, Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP).
No comments:
Post a Comment